suria

Cikgu Fadli gesa singkir ‘tangan ghaib’ dalam KPM… “Minta mereka bersara awal”

Guru Fadli menyifatkan perjuangan beliau masih belum selesai meskipun Lembaga Tatatertib KPM putuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.

MESKIPUN Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskannya Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil, guru matematik itu menyifatkan perjuangan beliau masih belum selesai.

Menurut Fadli, apa jua keputusan yang dibuat KPM terhadapnya bukan fokus utama sebaliknya perlu tertumpu kepada kelemahan sistem pendidikan yang perlu diperbaiki.

"Sama ada saya dikatakan bersalah atau tidak, itu nombor dua. Kalau tak bersalah Alhamdulillah rezeki seperti mana dah terbukti tak salah. Alhamdulillah rezeki.

"Namun yang pertama, tolong jangan lari pada fokus. Fokusnya apa? Fokusnya ada kelemahan dan kerosakan dalam sistem kita bukan saja sistem pendidikan sahaja tapi saya fokus pada pendidikanlah sebab saya dalam pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat bela nasib pelajar, Cikgu Fadli dakwa bakal dibuang kerja... Akhirnya Radzi Jidin ajak jumpa

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Cikgu Fadli didapati tak bersalah, bebas daripada 3 pertuduhan

"Kelemahan ini kita sangat berharap diubah. Ada tindakan susulan daripada kes viralnya saya ni, ada tindakan, ada perubahan yang ke arah kebaikan. Itu je yang saya nak. Saya bukan nak apa-apa. Saya nak generasi kita, anak-anak kita dapat hak mereka. pendidikan kita lebih berkualiti," katanya menerusi siaran secara langsung di Facebooknya pada Selasa.

Tambah beliau, sukar untuk melakukan perubahan selagi terdapat sebahagian mereka yang mempunyai kuasa menekan bawahan supaya meneruskan budaya yang tidak sihat.

"Surat itu tak sepatutnya sampai kerana tak setimpal dengan kesalahan. Ia tak masuk akal melainkan ada tangan ghaib yang mampu mempengaruhi yang benar-benar berkuasa mampu mempengaruhi untuk keluarkan.

"Tangan ini masih wujud di atas sana dan mereka perlu disingkirkan daripada sistem. Minta mereka bersara awal. Lantik mereka yang berintegriti. Itu tujuan saya. Perjuangan saya di situ. Perjuangan saya bukan untuk dapat jadi cikgu balik atau didapati tidak salah," katanya.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan berterima kasih kepada lembaga tatatertib yang bersidang dengan jujur dan amanah.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum itu, beliau meminta agar mana-mana pihak yang menyebarkan surat keputusan lembaga tatatertib KPM menarik balik gambar surat berkenaan kerana merupakan dokumen sulit.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain