suria

Acara sukan bertukar tragedi, murid darjah 5 maut dihempap tiang gol... kejadian disedari bapa sendiri

Mangsa berusia 11 tahun maut akibat kecederaan parah di kepala.

SEORANG murid tahun lima maut secara tragis selepas palang tiang gol jatuh menimpanya semasa acara sukan di sebuah sekolah di Manggatal, Kota Kinabalu, pada Khamis (20 Oktober).

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 11 tahun dan merupakan murid di SJK (C) Lok Yuk itu disahkan meninggal dunia di Hospital Likas, susulan kejadian yang berlaku pada pukul 12.20 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bapa kanak-kanak itu, dipercayai berusia 50-an, yang hadir pada acara sukan berkenaan menyedari insiden tersebut apabila terlihat sekumpulan murid berkumpul di padang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dihempap tiang gol kerap salam guru sehari sebelum ajal

Katanya, lelaki itu menghampiri kumpulan tersebut dan baru menyedari anaknya terbaring di atas tanah.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Likas dengan menaiki ambulans selepas seorang guru di lokasi menghubungi talian kecemasan 999.

"Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang terlibat, sambil menambah kes itu diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Terdahulu, video insiden berkenaan tular di media sosial, memaparkan pasukan paramedik dan anggota polis mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain