suria

Ekonomi negara di landasan betul melalui pemerkasaan peniaga dan usahawan kecil - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan usahawan. - IZZRAFIQ ALIAS
1 / 3
2 / 3
3 / 3

KARNIVAL Usahawan dan Koperasi Malaysia negeri Selangor menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sentiasa prihatin dalam membela kepentingan peniaga dan usahawan kecil melalui penganjuran program seperti ini.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan warga Malaysia termasuk kalangan usahawan dan koperasi untuk terus mengecapi kemajuan.

“Ramai yang sedia maklum bahawa sektor koperasi yang wujud di Malaysia sejak 100 tahun lalu telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya semasa majlis perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia negeri Selangor di Puncak Alam, Khamis.

Ismail Sabri berkata dana berjumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada Tabung Modal Pusingan (SKM) bertujuan membiayai sektor koperasi dalam mengembangkan industri agromakanan pada tahun hadapan.

Perdana Menteri bertukar sepatah dua kata bersama pengunjung.

Seterusnya usaha tersebut turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (Scope) bagi memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna sentiasa konsisten pada harga yang berpatutan.

“Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding lima peratus pada suku pertama tahun 2022

"Kejayaan ini turut diakui oleh Bank Dunia yang bertindak menyemak semula unjuran KDNK negara kepada 6.4 peratus berbanding lima peratus yang diunjurkan pada bulan Mac lalu,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri menyatakan Bajet 2023 yang merupakan bajet terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah negara bakal memperuntukan Kuskop dengan RM668.4 juta bagi menyelia permohonan usahawan dan koperasi.

Usahawan dan penjaja merupakan antara tonggak ekonomi negara. - ASYRAF MALIK

“Kerajaan akan menyediakan geran secara one-off bernilai RM1,000 kepada satu juta penjaja kecil di seluruh negara.

“Kerajaan telah membelanjakan RM1 bilion untuk membantu memberikan geran one-off ini kepada penjaja.

“Ini tidak termasuk Penerima Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia sebanyak RM350 juta,” ujarnya.

Di samping itu, demi menjaga kebajikan rakyat akibat kenaikan harga barang, kerajaan akan memperuntukan RM100 juta bagi melaksanakan kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia di 639 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

Program tersebut akan melihat angka jualan 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain