suria

Perkeso dapat pengiktirafan antarabangsa, Mohammed Azman dilantik Presiden ISSA ke-17

Malaysia berbangga apabila Mohammed Azman dipilih sebagai Presiden ISSA ke-17.

KETUA Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed meletakkan Malaysia di mata dunia apabila dipilih sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) yang ke-17.

Pengiktirafan itu diberikan ketika Persidangan Agung (ISSA), semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia 2022 (WSSF) yang dihadiri 321 ahli ISSA daripada 161 buah negara yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal keselamatan sosial, di Maghribi dari 23 hingga 28 Oktober 2022.

Dr Mohammed Azman berkata pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan semua warga Perkeso.

"Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk jawatan presiden yang ke-17. Bagi saya, pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan semua warga Perkeso kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

"Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat," katanya mengenai pemilihan ini.

Photo NO_03600.jpg_ Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO bersama ahli-ahli panel penceramah di sesi plenari bertajuk ““Social security management in the human-digital age” pada WS

Persidangan Agung ISSA dan WSSF 2022 dianjurkan oleh agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance.

Dr Mohammed Azman akan menerajui ISSA bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025 sekali gus menjadikan beliau sebagai rakyat Malaysia pertama memegang jawatan tertinggi tersebut dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

Sebelum ini beliau pernah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Frances Perkins Award 2020 yang dianugerahkan oleh International Association of Industrial Accident Boards and Commissions (IAIABC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mana beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah organisasi itu dan orang Asia pertama menerima anugerah tersebut.

Selain itu, beliau juga memegang jawatan Presiden Asean Workers Compensation Association (AWCA), Ahli Lembaga Pengarah Asean Social Security Association (ASSA) dan Ahli Majlis Vision Zero Global Alliance.

WSSF 2022 di Maghribi

Persidangan Agung ISSA dan WSSF 2022, yang bertemakan ‘Social security for resilient and inclusive societies’ ini, dianjurkan oleh agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance.

Dalam forum tersebut, Dr Mohammed Azman telah berkongsi pengalaman Perkeso menguruskan jaringan keselamatan sosial di Malaysia yang menggabungkan elemen digital serta kemahiran manusia menerusi Program Social Synergy dan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dalam sesi plenari ‘Social security management in the human-digital age’.

Whatsapp Image 2022-1-29 (a)_ Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik menerajui badan antarabangsa ISSA sebagai Presiden ISSA ke-17 untuk

Mohammed Azman (dua, kiri) menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik menerajui ISSA sebagai presiden ke-17 untuk tempoh tiga tahun.

Beberapa pegawai kanan daripada Perkeso dan KWSP telah menyampaikan penemuan hasil penyelidikan dan inovasi masing-masing yang telah memberikan manfaat kepada kumpulan sasar serta pemegang taruh.

Pusat Rehabilitasi Perkeso juga dijemput untuk membuat demonstrasi rehabilitasi robotik yang canggih di persidangan tersebut untuk berkongsi kemajuan dan dinamisme perlindungan keselamatan sosial Malaysia.

Malaysia tuan rumah WSSF pada 2025

Dalam persidangan ini, Malaysia juga mencatatkan pengiktirafan berganda apabila Kuala Lumpur diterima sebagai tuan rumah bagi WSSF 2025, yang turut merangkumi Perhimpunan Agung ISSA dan Persidangan Majlis ISSA.

Susulan itu, Perkeso telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ISSA sebagai tuan rumah persidangan dan forum yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara.

Photo NO_04516.jpg_ Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO bertukar dokumen dengan wakil ISSA selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan ISSA sewaktu WSSF 2

Mohammed Azman bertukar dokumen dengan wakil ISSA selepas menandatangani MoU dengan ISSA sewaktu WSSF 2022 untuk menjadi tuan rumah WSSF 2025.

ISSA, yang telah ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Penganjuran persidangan kemuncak WSSF yang diadakan pada setiap tiga tahun adalah antara inisiatif ISSA, yang mengumpulkan para menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli untuk membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik mengenai keselamatan sosial.

Dengan mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2023 sehingga 2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah dan WSSF 2025, Perkeso berharap diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain