suria

3 beranak maut kereta rempuh lori, bapa mangsa tak sangka mimpi aneh rupanya petanda berita buruk

Keadaan kereta yang dinaiki tiga beranak remuk teruk. Foto: Bernama

"BARU hari ini saya tahu kenapa saya mimpi anak dan menantu pakai baju hitam dan putih"

Demikian kata Abdul Rajak Sakiman, 66, bapa mangsa kemalangan maut, Zubaidah Abd Rajak, ketika menceritakan mimpi melihat anak dan menantunya memakai baju berwarna hitam dan putih, dua minggu lalu.

Memetik laporan Kosmo, arwah Zubaidah dan suami, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, serta anak mereka, Muhammad Rizqi, 1, meninggal dunia selepas kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Alor Gajah, pagi Jumaat.

Menurut Abdul Rajak, dia tidak menceritakan mimpi itu kepada ahli keluarganya kerana menganggapnya sebagai 'mainan' tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... Wanita maut dalam nahas babit lima kenderaan

"Rupa-rupanya ia seperti satu petanda mereka akan pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya," ujarnya.

Abdul Rajak berkata, mereka sekeluarga sepatutnya berkelah beramai-ramai di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada petang Jumaat.

Katanya, aktiviti perkelahan tersebut sudah dirancang secara mengejut oleh mangsa dan adik-beradiknya malam tadi.

"Pukul 1 tengah hari tadi, kami mula berasa tidak sedap hati kerana arwah Zubaidah tidak sampai.

"Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memaklumkan anak saya terlibat kemalangan," katanya yang tidak menyangka kehilangan anak, menantu dan cucu secara serentak dalam nahas tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi Jumaat itu, pasangan yang berusia 28 tahun dan bayi mereka meninggal dunia di lokasi nahas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain