MASALAH kekurangan tenaga buruh yang kritikal sedang membebankan prospek negara untuk pulih daripada kelembapan ekonomi pasca Covid-19. Sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing seperti pembuatan, makanan dan minuman (F&B) dan perladangan adalah antara yang terkesan dengan kekurangan tenaga pekerja. Sehubungan itu pemain industri merayu kepada kerajaan untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing baharu bagi menggantikan mereka yang telah pulang ke tanah air masing-masing ketika pandemik atau selepas kontrak tamat. Kebanyakan pemilik perusahaan F&B terpaksa mengeluarkan beberapa hidangan daripada menu, menggunakan kutleri pakai buang dan menambah bebanan kerja kepada kakitangan sedia ada bagi mengatasi kekurangan tenaga pekerja tatkala permintaan meningkat. Antara yang mengambil pendekatan sedemikian ialah restoran Kanna Curry House, kata pengurus operasi Yoga Kannan. “Kami sedang mengalami isu kekurangan tenaga kerja...sepatutnya ada 15 pekerja di setiap restoran. Kami mempunyai tujuh restoran kesemuanya. “Tetapi sekarang kami hanya ada tujuh dan lapan pekerja di setiap restoran. Kami sedang beroperasi dengan kapasiti 50 peratus tenaga kerja. “Bagi berdepan dengan situasi tersebut, kami terpaksa mengurangkan hidangan yang biasa kami sediakan. “Dulu ada pelbagai menu seperti roti canai, capati dan makanan sampingan tetapi sekarang daripada pukul 11 pagi hingga 3 petang, kami hanya menghidangkan nasi daun pisang. “Mustahil untuk menawarkan menu yang beraneka melainkan kami ada tenaga pekerja yang diperlukan,” kata Yoga. Yoga Kannan berkata kekurangan tenaga pekerja memberikan impak yang jelas kepada perusahaan F&B miliknya. Tambahnya lagi, minuman juga dihidangkan dalam cawan kertas kerana kekurangan kakitangan untuk membasuhnya. Tambah Yoga, ramai pekerja asing mereka yang berasal dari Bangladesh, Nepal, India dan Sri Lanka pulang ke tanah air ketika pandemik dan seterusnya mendapat pekerjaan baharu di negara lain seperti Singapura atau Emiriah Arab Bersatu (UAE). Tambah Yoga lagi, walaupun peratusan jualan yang diperoleh hanya antara 20 peratus dan 30 peratus berbanding dengan masa pra-pandemik, rangkaian restoran tidak mengambil jalan keluar untuk memotong gaji kakitangannya. “Kami faham mereka juga ada keluarga yang perlu disara di tanah air mereka,” katanya. Yoga berkata inisiatif seperti melanjutkan moratorium untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), potongan bil elektrik dan air yang sejajar dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) membantu restoran bertahan ketika masa yang sukar. Selain itu antara penyelesaian yang dipertimbangkan Kanna Curry House untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga pekerja ketika pandemik ialah dengan menawarkan iPhone SE percuma kepada rakyat Malaysia yang sanggup bekerja sebagai pelayan di cawangan mereka dalam tempoh minimum enam bulan. Mereka juga menawarkan gaji RM10 setiap jam dan lapan jam bekerja sehari. Kanna Curry house terdesak untuk mencari pekerja baharu. Yoga berkata imbuhan yang menarik ini ditawarkan kepada rakyat Malaysia sebagai galakan untuk mereka mahu bekerja dan kekal dalam industri. Namun ujarnya walaupun tawaran imbuhan itu dilihat berjaya menarik perhatian, ia masih tidak memadai kerana ramai yang berhenti tidak lama selepas itu. “Apabila warga tempatan temui peluang pekerjaan yang lebih baik, mereka terus berhenti. Mereka tidak sesuai dengan pekerjaan 3D yang dikenal pasti sebagai dirty, dangerous, difficult,” katanya. Yoga memberitahu permohonan pekerja asing baharu dihantar sejak empat bulan yang lalu tetapi masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Tenaga Kerja. Jika isu kekurangan tenaga pekerja berterusan, Yoga berkata mereka tiada pilihan lain melainkan untuk mengurangkan waktu operasi restoran. Kanna Curry House cuba pelbagai alternatif untuk menarik minat warga tempatan bekerja bersama mereka. “Kami tidak mampu untuk beroperasi sepenuhnya, jadi mungkin hanya akan membuka perniagaan ketika waktu makan tengah hari sahaja. “Harapan saya adalah isu ini dapat diselesaikan sesegera mungkin apabila kerajaan baharu mengambil alih. Bukan sahaja untuk industri F&B tetapi untuk semua sektor juga,” katanya. Dalam pada itu Presiden Persatuan Pembuat Roti, Kek, Biskut, Gula-Gula, Mee Dan Kuay Teow Malaysia Lai Yee Kein berkata kekurangan tenaga pekerja menjejaskan kemampuan kilang untuk memenuhi permintaan. “Kekurangan tenaga kerja memberikan kesan kepada operasi kami kerana kebanyakan pekerja tempatan berhijrah ke negara lain untuk tawaran dan prospek pekerjaan yang lebih baik. “Kami berharap kerajaan akan membenarkan lebih ramai pekerja asing untuk masuk ke dalam negara bagi menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja,” katanya. Beliau juga menambah sebanyak 70 peratus kakitangan industri terdiri daripada pekerja asing. Lai berkata operasi pembuatan telah terjejas kerana kekurangan tenaga pekerja asing. Lai yang juga merupakan pengasas Kein Noodles Manufacturers Sdn Bhd berkata, industri pembuatan terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan perniagaan mengalami kemerosotan. Kini, prestasi perniagaan sedang kembali pulih secara perlahan-lahan melalui pembukaan semula sektor ekonomi. Lai berharap kerajaan akan mempercepatkan proses membawa masuk pekerja asing ke Malaysia. “Kita memerlukan sekitar dua juta pekerja asing untuk industri negara,” ujarnya. Sementara itu Vivian Lee, 48, yang memiliki beberapa perusahaan kecil termasuk sebuah kedai buah dan sayuran berkata dia kekurangan empat pekerja asing. “Warga tempatan tidak berminat dengan pekerjaan ini walaupun ditawarkan gaji lumayan dan insentif seperti tempat tinggal dan makanan disediakan. “Kelulusan untuk kemasukan pekerja asing adalah sangat perlahan. Jadi, saya tidak ada pilihan dan cuba untuk bertahan dengan kakitangan yang saya ada,” katanya. Lee yang menerima Geran Khas Prihatin (GKP) ketika pandemik berkata pemberian RM3,000 secara one-off sebagai bantuan kewangan untuk PMKS sepertinya membantu perusahaannya bertahan. “Sekarang apabila sektor telah dibuka semula, kami dalam keadaan yang lebih baik walaupun kos perniagaan meningkat. Tetapi kita ada isu lain iaitu kekurangan tenaga pekerja. “Selagi mana ia tidak diselesaikan, pemulihan negara kita akan mengambil masa yang lebih lama,” kata Lee. Muhyiddin berkata isu kekurangan tenaga pekerja perlu diberikan perhatian. Walaupun pekerja asing dibenarkan untuk dibawa masuk bermula pada Februari lalu, ketibaan mereka ke negara ini adalah perlahan berikutan kerenah birokrasi dan isu rundingan perlindungan pekerja bersama negara yang membekalkan pekerja asing. Sejak awal Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada kerajaan bahawa kegagalan untuk bertindak pantas dalam menghadapi isu kekurangan tenaga kerja asing berisiko meruntuhkan ekonomi negara. Beliau memberitahu MPN telah dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah 1,152,276 permohonan pekerja asing dalam industri bermula daripada Januari hingga September 2022 tetapi hanya 76,000 yang dibawa masuk setakat 12 September. “Daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5 peratus) kuota diluluskan. “Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri,” katanya. Beliau menekankan bahawa Perdana Menteri perlu memberikan perhatian kepada isu tersebut kerana ia sedang menjejaskan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). MPN sebelum ini menghantar 95 cadangan kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan. Muhyiddin mengakui kecewa kerana walaupun cadangan tersebut menerima sokongan Kabinet, namun hanya 16 daripadanya yang diimplementasi tetapi tidak mencapai tahap yang memuaskan. Contohnya isu kekurangan tenaga pekerja dalam PKS yang menjejaskan pemulihan negara. Muhyiddin berkata MPN telah memberikan 95 cadangan kepada pihak kerajaan termasuk berkaitan isu kekurangan tenaga pekerja. “Saya bimbang kerana sebarang kelewatan di pihak kerajaan dalam memacu pemulihan negara akan memberi kesan buruk kepada rakyat. “Ramai pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa menjangkakan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan. “Sekiranya negara kita tidak berada pada landasan pemulihan yang kukuh pada tahun ini, cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara pada tahun hadapan adalah lebih meruncing,” katanya Muhyiddin berkata cadangan khusus MPN untuk membantu PKS seperti moratorium berserta penstrukturan semula pinjaman tidak diimplementasi secara berkesan. “Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April lalu dan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) pada 18 Mei. “Saya membangkitkan perkara ini dalam kenyataan kepada wartawan pada 12 September. “Perdana Menteri memberi maklum balas bahawa beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian-kementerian yang berkaitan sebelum membuat keputusan. “Baru minggu lepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan kepada media memberitahu bahawa kementeriannya akan menimbangkan cadangan ini. “Adakah Kabinet tidak membincangkan cadangan penting MPN ini dalam mesyuaratnya lebih empat bulan yang lalu? Atau MJM ini dibentangkan kepada Kabinet tetapi tidak dibincang secara terperinci? “Ini adalah sesuatu yang agak mengecewakan. Suatu cadangan penting MPN kepada Kabinet untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37 peratus kepada KDNK negara tidak mendapat perhatian segera kerajaan. “Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya. Muhyiddin kecewa kerana cadangan yang diberikan seperti tidak dibincangkan secara terperinci. Muhyiddin berkata MPN sebagai badan penasihat kepada kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa penguatkuasaan. Jelasnya cadangan MPN akan dibawa kepada Kabinet dan setelah mendapat sokongan, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian dan agensi yang relevan. “Sebagai Pengerusi MPN saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan-keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara. “Kuasa ini adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet. “Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan cadangan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti cadangan yang dikemukakan dan melaksanakannya,” katanya. Muhyiddin juga berkata, MPN sejak penubuhannya mengemukakan banyak cadangan bagi memastikan tidak ada gangguan dalam bekalan yang akan menjejaskan produktiviti, meningkatkan inflasi dan memperlahankan pemulihan negara. MPN terdiri daripada beberapa menteri Kabinet bersama dengan penjawat awam di peringkat atasan, pakar terulung daripada semua bidang dan industri serta wakil parti pembangkang. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI