suria

Agong jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan di IJN

Al-Sultan Abdullah menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di IJN.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), bermula Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara selepas menjalani pemeriksaan kesihatan itu yang dijangka selesai pada hujung minggu ini.

"Kesihatan baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

"Seri Paduka dijadualkan menjalani prosedur itu pada pertengahan September lalu tetapi ia telah ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan, Isnin petang.

Ahmad Fadil berkata, penangguhan itu berikutan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London, United Kingdom selama lima hari bermula 16 September lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.

"Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan Baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain