suria

Akaun TikTok pemuda rosakkan kolam Deepavali lesap... Tindakan biadab bawa padah, polis panggil bagi keterangan

Tindakan pemuda ini merosakkan kolam mengudang kemarahan ramai.

RAKAMAN memaparkan seorang pemuda merosakkan hiasan Deepavali yang dikenali sebagai kolam ternyata mengundang kemarahan orang ramai di media sosial.

Menerusi video TikTok berdurasi 39 saat, seorang lelaki yang memakai baju Melayu biru, lengkap dengan samping dan songkok dilihat berjalan mengelilingi kolam sambil mengusiknya dengan kasut.

Dia turut bertindak biadab apabila dilihat berjalan di atas hiasan berkenaan.

Ketika dia merosakkan hiasan itu, kedengaran suara seorang perempuan, dipercayai perakam video yang menyebut perkataan 'vandalisme' sambil tergelak kecil.

Semakan mStar mendapati akaun TikTok lelaki itu gagal dikesan, dipercayai dinyah aktif selepas video miliknya tular dan mengundang kemarahan netizen.

Bagaimanapun, beberapa netizen sempat menyimpan video asal sebelum ia disebarkan semula menerusi Twitter pada Ahad malam.

Rata-rata netizen menyelar pemuda itu dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang biadab serta boleh memecahkan perpaduan kaum di Malaysia.

"Sebagai orang Melayu, aku sendiri mengecam perbuatan yang boleh memecahbelahkan harmoni rakyat Malaysia.

kolam2

Video itu turut tular di laman Twitter.

"Anak aku umur tiga tahun pun tahu jalan ke tepi bila nampak kolam ni. Siap cakap ia cantik. Tak ada pula dia gatal tangan nak rosakkan ke apa.

"Kau dah la bersongkok. Berbaju Melayu, menjatuhkan bangsa sendiri, haih otak ada tak nak guna," tulis beberapa netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata pelaku akan dipanggil untuk memberi keterangan pada Isnin.

"Kakitangan itu dipanggil memberikan keterangan esok (Isnin) dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun," ujarnya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Lelaki bertindak kurang ajar gunting deretan Jalur Gemilang tepi jalan... Netizen seru PDRM segera tangkap pelaku

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Wanita ini tergamak minta sijil mati keluarga rakan, buat alasan adik tak jadi balik asrama... “Nak emergency”

Kes ini turut mendapat perhatian Hospital Pakar KPJ yang memaklumkan telah melancarkan siasatan.

Hospital ini juga berjanji mengambil tindakan tegas sekiranya kakitangan itu terlibat dalam kes berkenaan.

"KPJ Klang mahu memaklumkan bahawa kami peka dengan video yang didakwa melibatkan kakitangan kami melakukan perbuatan tidak profesional yang tular di media sosial.

"“KPJ Klang tidak membenarkan sebarang tindakan tidak menghormati dalam kalangan kakitangan di dalam pekarangan hospitalnya.

"Kami telah melancarkan siasatan dalaman berhubung video itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kakitangan itu terlibat," ujar hospital itu dalam satu kenyataan.

Usaha mStar mendapatkan komen pelaku berhubung kejadian itu bagaimanapun tidak berbalas sehingga ke saat ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain