suria

Pulih lebih cepat, pulih lebih hebat… MPN gesa kerajaan rapatkan jurang pendapatan

Muhyiddin prihatin terhadap nasib golongan rentan pasca Covid-19.

MALAYSIA perlu melalui proses pemulihan yang stabil untuk kembali membangun dengan lebih kukuh, kata pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi amaran tentang tempoh dua tahun pandemik Covid-19 yang boleh merencatkan pembangunan selama berdekad lamanya jika proses pemulihan tidak dikendalikan dengan baik.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata kerajaan perlu segera bertindak kerana menurutnya rentak pemulihan di sektor tertentu seperti tidak menyeluruh hingga menyebabkan mereka tertinggal di belakang berbanding sektor lain.

Merapatkan jurang pendapatan juga penting untuk prospek ekonomi negara dan beliau seterusnya menambah, kumpulan berpendapatan sederhana kini sedang mengecil kerana mereka terjatuh ke dalam kelompok berpendapatan rendah ekoran pandemik yang melanda.

S: Apakah fungsi MPN dan mengapa ia ditubuhkan?

J: MPN ditubuhkan semasa saya menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri dan ia pada mulanya bertujuan untuk merancang dan melaksanakan strategi bersesuaian untuk kita keluar daripada pandemic. Pelan Pemulihan Negara (PPN) merangka jalan keluar sistematik dan peralihan selamat daripada pandemik melalui empat fasa. Terdapat tiga indikasi yang perlu dipenuhi daripada satu fasa ke fasa lain iaitu jumlah kes Covid-19, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital yang tersedia.

Alhamdulillah, strategi tersebut membolehkan kita menggandakan kadar vaksinasi, bilangan jangkitan Covid-19 menurun dan memastikan pembukaan semula ekonomi negara dengan selamat secara berperingkat.

Namun begitu, kita sedar impak pandemik Covid-19 adalah sangat meluas. Penutupan dan penyekatan yang dilaksanakan memberikan kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Lapan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion iaitu Pemulih (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) diumumkan pada Jun 2021 dan dilaksanakan sehingga akhir 2021.

Picture2

Muhyiddin berkata MPN sentiasa proaktif sebagai badan penasihat dalam proses pemulihan negara.

Jika diambil kira Pemulih sahaja bernilai lebih RM150 bilion dengan fokus kepada menjaga kebajikan rakyat, mendukung keusahawanan dan meningkatkan vaksinasi.

Ketika saya mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri, saya kekal sebagai pengerusi MPN yang menjadi badan penasihat kepada Kabinet atau perkara berbangkit berkaitan pemulihan negara.

Majlis ini terdiri daripada ahli kanan Kabinet yang merangkumi empat Menteri Kanan, Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan dan Menteri dari Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas ekonomi negara, pemimpin pembangkang, ketua perusahaan, pakar dalam bidang kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial serta penjawat awam kanan.

Kertas cadangan dibentangkan dan diselia oleh badan kerajaan, persatuan keusahawanan dan pakar. Cadangan ini diberikan kepada Kabinet dan kita sebenarnya menyalurkan lebih 90 cadangan.

Walaupun begitu, seperti yang saya tekankan pada mulanya, majlis ini hanyalah badan penasihat dan tidak mempunyai kuasa eksekutif. Antara cadangan yang telah diambil tindakan seperti pembukaan semula sempadan tetapi banyak yang tidak dilaksanakan walaupun disokong oleh barisan Kabinet.

Picture3

Muhyiddin turun padang untuk mendengar situasi semasa pemulihan negara.

S: MPN melakukan beberapa siri temu mesra bersama komuniti keusahawanan, apakah antara isu utama yang dikenal pasti?

J: Kita menjalankan beberapa sesi temu mesra ke serata negara berjumpa dengan kumpulan belia, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan keusahawanan, dewan perniagaan.

Antara maklum balas utama diterima yang menyentuh hati saya adalah impak pelaksanaan sistematik PPN dan program vaksinasi.

Usahawan domestik dan antarabangsa memuji strategi keluar pandemik kita yang terbuka dan teratur serta program vaksinasi yang begitu pantas sehingga membolehkan perniagaan mereka dibuka dengan selamat.

Begitu juga usahawan asing juga berterima kasih kerana mereka melihat polisi kita berbanding dengan negara lain.

Peniaga tempatan juga boleh merancang dengan lebih efektif ke atas bekalan dan tenaga kerja apabila sudah keluar dari pandemik secara berperingkat.

Antara mereka berkata: “Terima kasih Tan Sri, saya tak perlu menutup perniagaan atau memberhentikan pekerja saya kerana mengambil subsidi upah ketika Covid-19 untuk perniagaan saya.”

Itu benar, kita membelanjakan lebih RM15 bilion ke atas subsidi upah untuk membantu lebih 300,000 usahawan yang kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia membantu menyelamatkan lebih tiga juta pekerjaan.

Saya juga mendengar mereka berkata: “Terima kasih Tan Sri, bakul makanan yang diberikan telah menyediakan makanan untuk keluarga saya setiap malam.”

Itu juga benar, kita memberikan bakul makanan lebih RM50 juta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar. Kita memberi setiap ahli Parlimen RM500,000 untuk agihan bakul makanan.

Tan Sri, terima kasih untuk Bantuan Prihatin. Dengan bantuan itu saya dapat beli lampin dan susu untuk anak saya.

Ini juga benar kerana kita memberi bantuan kewangan lebih RM22 bilion semasa pandemik. Lebih 10.1 juta penerima edaran tunai secara terus.

Tan Sri, saya dapat vaksin dan saya terselamat daripada Covid-19. Jiran saya tidak mendapat vaksin dan meninggal dunia.”

Kita membelanjakan lebih RM5 bilion untuk mendapatkan vaksin bagi 140 peratus daripada populasi sejak mula vaksin diperkenalkan dan pembelian vaksin tambahan membolehkan kita membuat suntikan penggalak lebih cepat dari negara lain.

Polisi yang dibawa kerajaan ketika di bawah tampuk pimpinan saya sebagai Perdana Menteri kini terbukti berkesan. Tiga suku pertumbuhan ekonomi secara berturut-turut yang kita nikmati sekarang adalah kerana polisi yang diambil untuk melindungi ekonomi dan pembukaan ekonomi secara sistematik menerusi PPN.

Perkara sama yang diulang adalah kesukaran untuk mendapatkan tenaga pekerja asing bekerja dalam sektor makanan dan minuman, perladangan, kekurangan koordinasi untuk membantu pemulihan sektor pelancongan dan beban kewangan yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Hampir 98 peratus daripada entiti keusahawanan berdaftar di Malaysia adalah PMKS dan mereka menyumbang kepada hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Membantu mereka bertahan bukan sahaja akan melindungi pekerjaan tetapi akan memastikan jentera ekonomi negara terus berjalan. Itu sebabnya ketika saya menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, dalam banyak pakej kita, kita masukkan bantuan untuk PMKS. Kita juga keluarkan RM6.08 bilion secara terus kepada PMKS di bawah program Geran Khas Prihatin.

Picture4

Muhyiddin berkata penambahbaikan masih boleh dilakukan dalam proses pemulihan negara.

S: Secara umum, adakah Tan Sri berpuas hati dengan kemajuan pemulihan pada masa kini? Mengapa?

J: Saya berharap saya dapat buat dengan lebih baik. Kemajuan pemulihan sekarang tidak sekata. Ada sektor yang pulih lebih baik daripada sektor lain. Saya selalu beritahu yang kerajaan perlu praktikal dan bertindak apabila diperlukan.

Kita perlukan proses pemulihan yang menyeluruh untuk merapatkan jurang di antara pendapatan rakyat Malaysia. Negeri-negeri tertentu bergantung kepada sektor-sektor tertentu, sebagai contoh, pelancongan dan pembuatan, pelancongan pulih dengan lebih perlahan berbanding pembuatan.

Oleh itu, negeri yang bergantung kepada pelancongan akan bangkit dengan perlahan berbanding negeri yang bergantung kepada sektor pembuatan. Pemulihan yang tidak sekata antara negeri akan membesarkan jurang pendapatan dan pembangunan di antara negeri.

Jika Malaysia mahu membina semula ekonomi, kita harus memastikan pemulihan yang sekata agar jurang pembangunan dapat ditutup.

Pemulihan bukannya perancangan jangka pendek tetapi mesti sehaluan dengan sasaran pembangunan negara jangka panjang.

Sepertimana yang disebut dalam Rancangan Malaysia ke-12 iaitu untuk menghasilkan ekonomi negara yang berketahanan tinggi dan merangkumi semua.

Saya berharap akan ada kesegeraan dalam kerajaan hari ini untuk menyelia proses pemulihan. Jika kita tidak menyelia proses pemulihan dengan baik, impak pandemik akan berada dengan kita lebih lama.

Akan ada kesan yang berkekalan dalam sesetengah sektor ekonomi. Apabila pemulihan tidak diberikan tumpuan utama, saya risau dua tahun pandemik lalu akan mengakibatkan kita hilang berpuluh tahun berharga untuk pembangunan negara.

Picture5

Muhyiddin menyatakan negara perlu bersedia dengan landskap ekonomi global 2023 yang mungkin perlahan.

S: Adakah anda melihat inflasi yang tinggi dan ringgit yang lemah akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi?

J: Ketika kita memasuki 2022, kita yakin yang ia akan menjadi tahun untuk pemulihan. Kita berjaya mencapainya, pertumbuhan 6.9 peratus dalam separuh-pertama tahun ini dan pertumbuhan 8.9 peratus dalam suku kedua tahun ini, tertinggi di Asia Tenggara.

Statistik ini membuktikan keberkesanan polisi yang kita ambil sejak Mac 2020. Namun begitu, kita juga diuji dengan isu global seperti perang di Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global dan mengetatkan polisi monetari untuk ekonomi membangun.

Ini juga mengakibatkan penurunan nilai ringgit dan peningkatan kadar bunga dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara.

Tekanan inflasi dan peningkatan kadar bunga akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi.

Kita harus ingat inflasi boleh diibaratkan seperti cukai tambahan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan ini secara langsung memberi kesan kepada kuasa membeli.

Dengan pertumbuhan pendapatan kita yang akan turut terjejas, sekali gus berpotensi memperlahankan pembelian pengguna di pasaran di samping kadar bunga lebih tinggi akan menjejaskan kos pinjaman dan menghalang pelaburan.

Ringgit yang lemah juga bermaksud bil import terutama makanan akan menjadi lebih tinggi dan kenaikan harga akan dirasai pengguna. Mereka dalam sektor pembuatan yang menggunakan bahan mentah import akan turut merasai kesannya.

Walaupun usahawan mungkin mampu mengharungi inflasi tinggi dan ringgit yang lemah tetapi untuk seberapa lama?

Tekanan inflasi dan ringgit yang lemah akan melenyapkan kemajuan yang kita bina sepanjang tahun pemulihan.

Picture6

Muhyiddin menyatakan kerisauan terhadap peningkatan golongan pendapatan isi rumah pertengahan yang jatuh ke dalam golongan rentan.

S: Tan Sri bercakap tentang kumpulan B40 menjadi B61, macam mana pendapatan dalam kumpulan in boleh pulih semula? Apakah langkah yang boleh diambil?

J: Pandemik memberi impak yang teruk kepada pendapatan isi rumah di Malaysia. Menurut laporan syarikat penyelidik media, Mindshare, pendapatan isi rumah sehingga Jun 2022 menunjukkan pengurangan sehingga 26 peratus dari 2018 dengan purata bulanan pendapatan isi rumah RM2,965.

Sedia maklum, B40, M40 dan T20 adalah pecahan kumpulan pendapatan isi rumah.

Secara ringkasnya, B40 adalah pendapatan isi rumah bawah RM5,000, M40 antara RM5,001 dan RM10,000 dan T20 adalah pendapatan isi rumah melebihi RM10,000.

Jika kita melihat senarai klasifikasi ini hari ini, situasi berubah. Lebih separuh di bawah kumpulan M jatuh ke dalam kategori B. Jika kita mengikut kumpulan pendapatan yang sama seperti dalam laporan sebelumnya, kumpulan B sekarang akan berada di 61 peratus manakala M di 14 peratus dan T di 18 peratus. Selain itu, 7 peratus tidak dapat dikenal pasti.

Ini menunjukkan kumpulan pertengahan sedang mengecil. Laporan yang konsisten daripada institusi lain dan badan penyelidik seperti Institut Penyelidikan Khazanah telah menyatakan 70 peratus rakyat Malaysia telah tergelincir ke dalam golongan rentan kerana pandemik.

Apa yang lebih membimbangkan adalah 76 peratus daripada kumpulan B61 mempunyai purata pendapatan isi rumah kurang dari RM2,965. Ini adalah kumpulan yang mampu membeli makanan untuk seluruh keluarga tetapi hanya boleh makan sekali sehari dan perlu mencatu dalam pemilihan makanan berprotein.

Isu ini sangat memeranjatkan dan mempunyai kesan buruk bukan sahaja kepada momentum pemulihan tetapi kepada agenda pembangunan negara secara keseluruhannya.

Kumpulan pertengahan yang sedang mengecil adalah petanda tidak bagus untuk prospek ekonomi negara kerana kita tahu kumpulan pertengahan memacu kepenggunaan dan memegang kuasa membeli.

Apabila pendapatan mereka berkurangan, mereka tidak mampu untuk berbelanja, akan berjimat dan sekali gus melemahkan ekonomi negara yang sedang menghadapi keadaan sukar. Negara kita akan terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana dan kita tidak dapat menjadi negara berpendapatan tinggi.

Apakah langkah yang boleh diambil? Pertama, kita perlu memastikan jaringan keselamatan sosial kita diperkuat. Sistem kebajikan seperti e-Kasih perlu dirombak semula. Ia perlu diperkukuh dan disepadukan kepada saluran bantuan jika diperlukan.

Kita perlu mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial kita untuk sektor tidak rasmi dan pekerja ekonomi gig. Mereka yang memerlukan bantuan sepatutnya dibenarkan untuk mendapatkan bantuan tanpa banyak kerenah birokrasi.

Kita perlu membina ekonomi yang membantu untuk mencipta pekerjaan dengan bayaran yang berpatutan. Tumpukan kepada rantai nilai melalui teknologi yang akan mencipta pekerjaan dengan bayaran lumayan.

Gunakan solusi digital seperti kecerdasan buatan (artifiicial intelligence) dan robotik untuk meningkatkan produktiviti kerana ini akan membolehkan kenaikan bayaran gaji yang berterusan.

Selain itu, kita perlu memastikan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dikemaskini oleh Perdana Menteri pada 2020 dari RM980 kepada RM2,208 untuk sentiasa dipantau dan diselaraskan jika perlu.

Ini membolehkan kita untuk menyasarkan bantuan kepada golongan rentan dengan lebih baik dan mengurangkan kemiskinan termasuk miskin bandar.

Picture7

Muhyiddin memberi amaran banyak sektor akan terjejas jika kemelesetan ekonomi global 2023 benar-benar berlaku.

S: Dijangkakan Pertumbuhan Ekonomi Global 2023 akan menjadi lemah dan Dana Monetari akan dipotong dengan unjuran pertumbuhan global Oktober 2023 adalah 2.7 peratus. Bagaimanakah ini memberi impak kepada momentum pemulihan?

J: Ekonomi global yang lemah ketika kita sedang melalui fasa selepas pandemik yang rapuh akan membawa banyak kesan buruk. Kita adalah sebuah ekonomi yang terbuka dan didorong dengan perdagangan, pertumbuhan global yang perlahan akan mengakibatkan kekurangan permintaan untuk eksport kita.

Pelabur akan mengambil jalan selamat di pasaran yang sudah stabil kerana mereka tidak mahu merisikokan segalanya. Ini akan melemahkan nilai ringgit kita.

Walaupun ringgit yang lemah akan menyebabkan eksport kita menjadi lebih murah, ekonomi global yang perlahan akan menjejaskan permintaan. Syarikat akan menguncup dan peluang pekerjaan akan berkurang.

Untuk sektor seperti pelancongan dan pelancongan global di bawah kategori percutian akan turut terjejas jika kemelesetan ekonomi berlaku dalam pasaran.

Oleh itu, 2023 akan menjadi mencabar untuk momentum pemulihan negara sekiranya jangkaan yang membimbangkan ini benar berlaku.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain