suria

Ustaz Kazim tarik diri kerana tak mahu lawan abang sendiri, akui tak terlibat dengan mana-mana parti politik

Kazim tarik diri kerana abangnya turut bertanding di kawasan sama.

DATUK Mohammad Kazim Elias atau Ustaz Kazim menarik diri sebagai calon Barisan Nasional Parlimen Larut kerana abangnya turut bertanding di kawasan yang sama.

Pendakwah itu yang sepatutnya bertanding di bawah tiket Barisan Nasional berkata dia menarik balik pencalonan apabila abangnya, Kapt (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias diumumkan bertanding di kerusi DUN Batu Kurau dengan calon Perikatan Nasional.

Pencalonannya sebelum ini telah diumumkan menjelang Hari Penamaan Calon pada Sabtu oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menjelaskan keputusannya pada sidang media khas pada Ahad, Kazim berkata arwah ibunya sentiasa menasihatinya supaya tidak sesekali bertanding di kawasan yang turut ditandingi oleh adik-beradiknya.

"Saya dan abang saya tidak menyangka bahawa kami bertanding dan kami tidak berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.

Tambahnya, apabila Ahmad Zahid mengumumkan namanya sebagai calon di Larut, barulah dia tahu abangnya turut bertanding sebelum menarik diri untuk memberi laluan kepadanya.

1807042

Kazim berkata dia kini tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Dia juga sebelum ini pernah memaklumkan kepada Ahmad Zahid tentang prinsipnya untuk tidak bertanding melawan adik-beradik lain.

"Saya bukan ahli Umno, tetapi saya ditawarkan untuk bertanding di Larut di bawah tiket Barisan kerana pengetahuan dan pengalaman saya sebagai pendakwah.

“Presiden parti (Umno) memberitahu saya tidak mengapa saya bukan ahli, kerana mereka mahu orang dari pelbagai profesional dan latar belakang agama menyumbang pengalaman dan kepakaran mereka, dan dengan itu saya dipilih," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai 24 jam BN umum calon PRU15, Ustaz Kazim tarik diri

Ditanya sama ada dia akan menyokong abangnya atau calon baharu Umno Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Kazim berkata dia tidak akan mewakili mana-mana parti politik.

"Saya akan ke mana-mana untuk menyampaikan ceramah agama melibatkan keharmonian, hubungan kekeluargaan, perpaduan, dan perkara positif.

"Bagi sesiapa yang menjemput saya, jangan ada gabungan atau bendera parti yang terlibat dan calon tidak boleh berkempen di majlis itu.

“Saya juga tidak akan berpihak dan berkempen untuk mereka,” ujarnya lagi.

Kazim berkata dia pernah menjadi ahli PAS bermula 1997 sehingga 2014.

"Saya kini bukan ahli mana-mana parti politik, kerana saya gembira menjadi pendakwah bebas. Saya mempunyai rakan dari semua parti politik termasuk PAS, PKR, Umno dan Bersatu, dan itu tidak menjadi masalah sama sekali," tambahnya. - The Star.

Artikel Lain