CUACA baik diramal di beberapa negeri pada pagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Menerusi laman sesawangnya, ramalan cuaca menunjukkan tidak ada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur dan Perlis. Cuaca di Putrajaya juga dijangka baik pada sebelah pagi dan tengah hari manakala Melaka dan Labuan diramalkan mengalami cuaca yang baik pada tengah hari. Ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah tengah hari terutamanya negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Negeri di bahagian utara semenanjung seperti Perlis, Kedah, Penang dan Perak juga dijangka akan turut terjejas dengan ribut petir. Seterusnya di bahagian Malaysia Timur, Sarawak diramal mengalami cuaca baik di sebelah pagi dan beberapa kawasan di negeri itu akan menerima hujan di sebelah tengah hari. Sementara itu di Sabah, empat kawasan dijangka akan dilanda ribut petir dan hujan di sebelah pagi dan tengah hari iaitu Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang. Suhu di seluruh negara dijangka akan berada di antara 23 darjah Celcius dan 33 darjah Celcius. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI