suria

“InsyaAllah I’ll be back” - Nurul Izzah beri bayangan akan terus berjuang

Nurul Izzah mahu bangkit semula biarpun tewas dalam PRU15.

KEKALAHAN di kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjadi noktah perjuangan politik Nurul Izzah.

Sebaliknya, puteri reformasi itu memberi jaminan bahawa dia akan membuat kemunculan semula, suatu masa nanti.

"Jangan bimbang, teman-teman seperjuangan. Berkat usaha, doa, InsyaaAllah I’ll be back," ujarnya menerusi posting di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membuat penjelasan panjang lebar mengenai isi hatinya selepas tewas pada Sabtu.

Terbuka menerima kekalahan itu, Nurul Izzah juga menitipkan ucapan terima kasih buat pengundi dan memohon agar mereka berlapang dada menerima keputusan PRU15.

"Izinkan saya mengucapkan sepenuh penghargaan buat semua pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab semalam. Inilah demokrasi yang sentiasa kita pertahankan dalam mana-mana pilihan raya dan saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

Nurul Izzah mahu bangkit semula biarpun tewas dalam PRU15.

Nurul Izzah gagal pertahan kerusi Permatang Pauh.

"Peluang mewakili Permatang Pauh di dalam Dewan Rakyat adalah salah satu daripada penghormatan terbesar di dalam hidup saya. Di Permatang Pauhlah, bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca Covid-19 yang pertama di Malaysia, dan akhirnya diangkat di peringkat Economic Planning Unit (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata.

"Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan ruang yang diberikan. Buat pengundi serta penyokong saya yang dikasihi, kasih serta dokongan anda memberi saya kekuatan dalam mendepani cabaran hidup dan masa hadapan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak puas hati Nurul Izzah kalah, masyarakat Twitter ‘serang’ Ustaz Fawwaz... Main isu ada 2 isteri, 11 anak pula

Dalam posting sama, Nurul Izzah yang tewas kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-PAS) turut menzahirkan ucapan tahniah buat calon-calon yang berjaya dalam PRU15 pada Sabtu.

"Tahniah diucapkan buat mereka yang telah diberikan mandat. Sebagaimana setiap jawatan itu, hadirnya dengan tanggungjawab dan amanah. Semoga mandat ini dipikul dengan penuh tanggungjawab, kasih dan kebijaksanaan," ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Nurul Izzah yang merupakan calon dari Pakatan Harapan (PH) memperoleh 32,366 undi.

Pencabar beliau iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fawwaz Mat Jan pula meraih 37,638 sekali gus menang dengan majoriti sebanyak 5,272.

Sementara itu, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (Barisan Nasional) mendapat 16,971 undi dan calon bebas, Mohd Nasir Othman (GTA) memperolehi 473 undi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain