suria

Belum ada jawapan siapa tadbir negara! PN sedia terima parti lain bentuk kerajaan, Anwar dakwa sudah ada majoriti

Muhyiddin (kiri) dan Anwar pada sidang media berasingan.

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai pandangan yang berbeza dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai PH mengadakan sidang media secara berasingan, masing-masing pada pukul 3 pagi dan 3.30 pagi.

Muhyiddin berkata, PN bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang sedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam waktu terdekat.

"Ini kita serahkan kebijaksanaan kepada pimpinan tertinggi PN dengan mengambil kira situasi dan keadaan tertentu, pandangan yang telah disuarakan oleh ramai pimpinan.

"Yang penting, kita harap dengan Perikatan Nasional mengetuai kerajaan ini, maka kita akan dapat melahirkan suasana politik negara yang paling stabil," katanya.

Tambah Muhyiddin, pihaknya mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan melibatkan parti daripada Sabah dan Sarawak serta mana-mana parti yang menerima prinsip perjuangan perikatan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau mendakwa pakatan itu mempunyai sokongan lebih 111 untuk membentuk kerajaan.

"PH blok terbesar memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan suara majoriti.

"Kita mencapai persefahaman dan persetujuan untuk membentuk kerajaan apabila ada perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Anwar berkata, dakwaan Muhyiddin bahawa PN boleh membentuk kerajaan adalah mustahil.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain