BAGI membantu mengembangkan perniagaan pemborong dan sosio ekonomi usahawan di sekitar Kelantan, Agrobank dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), menawarkan kemudahan pembiayaan modal kerja sebanyak RM50,000 hingga RM500,000. Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pembiayaan yang diluluskan akan diberi secara pusingan kepada pemborong Mydin untuk tempoh sehingga satu tahun dengan kadar keuntungan yang kompetitif. “Kerjasama ini untuk menyediakan kemudahan pembiayaan pusingan jangka pendek patuh syariah dan perkhidmatan perbankan kepada pembekal di Mydin Kelantan. Ia sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi dan perkembangan sektor pertanian serta agromakanan di negeri berkenaan. “Ini sejajar dengan tanggungjawab melangkaui (beyond banking) Agrobank untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan yang bertujuan untuk membantu usahawan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan. ARTIKEL BERKAITAN: Sambut ulang tahun ke-65, Mydin lancar kempen tawar diskaun tak masuk akal mahu ringankan beban rakyat “Justeru, kami mengalu-alukan para pemborong Mydin Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan modal kerja yang ditawarkan,” ujarnya. Sementara itu Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, selaku pemborong dan runcit halal terbesar tempatan, pihaknya amat komited dalam memastikan usahawan-usahawan tempatan khususnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sentiasa berdaya saing dan mampan. "Kebanyakan usahawan sekarang amat tertekan ekoran masalah aliran kewangan akibat kenaikan harga komoditi serta dalam fasa pemulihan setelah sektor ekonomi kembali dibuka ekoran pandemik COVID-19,” katanya. Tambah beliau, pihak Mydin Kelantan juga menyahut baik inisiatif Agrobank kerana memperkenalkan proses pembiayaan tidak melibatkan kerenah birokrasi dan prosedur rumit. Katanya langkah itu memberikan kemudahan kepada usahawan dalam memastikan daya ketahanan kewangan perniagaan stabil. Sebagai permulaan satu sesi taklimat berkaitan pembiayaan modal kerja ini dijalankan kepada lebih 100 pemborong Mydin Kelantan bagi menerangkan pembiayaan yang ditawarkan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI