DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan baharu. Keputusan itu dikongsi menerusi satu muat naik di Twitter tepat pukul 2 petang, Selasa. "Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan. "BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi MP sokong Muhyiddin jadi PM, PN tambah Surat Akuan Berkanun Sementara itu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, parti itu tidak memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. "Tiada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional yang memberikan sokongan terhadap pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10. "Pemakluman mengenai perkara ini dibuat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. "Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. "Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan Barisan Nasional adalah kekal seperti sekarang," katanya. Sehingga kini, teka-teki mengenai pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan negara masih belum terjawab. Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah berkenan melanjutkan proses bagi ketua parti dan gabungan politik untuk mengemukakan keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu dan nama calon Perdana Menteri Malaysia ke-10, sehingga pukul 2 petang Selasa. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Sabtu berakhir dengan situasi di mana tiada parti yang mencapai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI