JENAZAH Nurul Azwani Kamarulzaman, salah seorang mangsa tanah runtuh Batang Kali pada Jumaat diiringi keluarga besarnya keluar dari Hospital Sungai Buloh untuk dikebumikan pada Sabtu malam. Kira-kira 20 ahli keluarga Allahyarham menunggu selama beberapa jam di Jabatan Forensik hospital itu ketika mereka menjalani proses pengecaman untuk menuntut mayatnya. Ibunya, Siti Esah Hassan berkata, Nurul Azwani akan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Selaseh di Gombak pada malam Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban meningkat kepada 24 "Kali terakhir kami melihatnya adalah pada hari Rabu sebelum dia berlepas ke perkhemahan," katanya sebelum beredar. Difahamkan Nurul Azwani bekerja di kantin SJKC Mun Choong. Dia telah menyertai sekumpulan guru sekolah yang pergi berkhemah di lokasi itu yang mana tanah runtuh melanda awal pagi Jumaat. Sehingga pukul 8 malam Sabtu, angka kematian berjumlah 24 orang dengan sembilan mangsa masih belum ditemui. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI