DATUK Johari Abdul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, berkuat kuasa serta-merta. Johari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mengumumkan perkara itu dalam satu video, kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad. Memetik Sinar Harian, Johari disebut-sebut bakal menjadi calon speaker Parlimen. "Saya, Datuk Johari Abdul, Adun Gurun di Kedah, telah menghantar surat kepada Speaker negeri Datuk Juhari Bulat dan ia telah diterima pada 13 Disember. "Surat itu mengumumkan saya mengosongkan kerusi DUN Gurun, yang saya wakili berkuat kuasa secara serta-merta. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif di DUN Kedah, serta.kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi-pengundi saya memberi kerjasama dalam menjalankan tugas saya sebagai Adun Gurun," kata Johari dalam video itu. Pada 2018, Johari memenangi kerusi DUN Gurun dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022, tetapi tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini yang menyaksikan Kedah hanya mengadakan pilihan raya untuk kerusi Parlimen. Dengan pilihan raya negeri Kedah yang akan diadakan tidak lama lagi, tidak dipastikan sama ada terdapat pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi DUN yang disandang Johari. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI