suria

Prihatin mangsa banjir… Agrobank tawar moratorium sehingga enam bulan buat pelanggan terjejas

Agrobank menawarkan moratorium sehingga enam bulan buat pelanggan terjejas. Foto: FAIHAN GHANI/The Star.

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri sejak minggu lalu dianggap sebagai ujian berat buat penduduk yang terlibat.

Prihatin dengan situasi itu, Agrobank tampil dengan Pelan Bantuan Banjir demi membantu pelanggan mereka yang terkesan dalam bencana berkenaan.

Menerusi pelan itu, pelanggan terjejas ditawarkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelan itu dirangka khas bagi membantu mereka membangunkan semula perniagaan selepas terlibat dalam bencana berkenaan.

"Kami bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan pelbagai cabaran akibat bencana banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian mereka.

"Sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan kami dilindungi dan dibantu.

"Sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat pelanggan-pelanggan kami, Pelan Bantuan Banjir ini dirangka khas khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing," ujarnya.

DSC_2359 (1)

Mohamad Sabu bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Agrobank ketika lawatan beliau ke ibu pejabat Agrobank.

Selain daripada dua tawaran itu, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang musnah akibat banjir.

"Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.

ARTIKEL BERKAITAN: Agrobank, Lembaga Zakat Negeri Kedah serah 10 unit motor roda tiga buat usahawan asnaf

"Selain itu, Agrobank juga akan meletakkan perkara ini sebagai prioriti utama kami di mana kami juga akan turut menghubungi pelanggan-pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini," ujarnya lagi.

Dia berkata demikian selepas keputusan dibuat ketika lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank pada petang Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut berharap pelan yang diumumkan Agrobank dapat membantu meringankan beban mangsa banjir, sekali gus membela nasib mereka yang terjejas.

"Saya memahami keluhan komuniti pertanian di mana tanaman, ternakan, sektor pemprosesan serta harta benda mereka telah rosak akibat bencana banjir. Justeru dalam menghadapi cabaran ini, pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mereka serta memastikan nasib komuniti agropreneur ini terbela.

"Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara," ujarnya lagi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, pelanggan terlibat boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476, e-mail ke [email protected] atau layari www.agrobank.com.my.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain