suria

‘Diratah’ dalam bilik air... Bapa durjana didakwa rogol, liwat anak 3 tahun

Tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu ketika isterinya bekerja di Singapura. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa, di atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak perempuannya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Dalam pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu merogol anak perempuannya berusia tiga tahun, yang mana perhubungan lelaki itu dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan meliwat mangsa, yang mana kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan,

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di bilik air di rumah keluarga itu dekat Tampoi pada 13 Disember 2022.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kedua-dua perbuatan itu adalah kesalahan serius yang tidak boleh dijamin.

Danial juga menyatakan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa yang menyebabkan ada kebarangkalian tinggi untuk tertuduh menganggu semula mangsa.

Mahkamah bersetuju untuk tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin, dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula bagi pengurusan kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Difahamkan, tertuduh yang juga penganggur ditahan pada pukul 11 pagi, 28 Disember tahun lalu selepas polis menerima laporan daripada isterinya.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika isterinya yang merupakan rakyat tempatan bekerja di Singapura dan ketika itu, tertuduh tinggal bersama mangsa dan dua anak yang lain, yang mana dua lagi sedang bersekolah. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain