suria

Pernikahan di luar negara tidak diiktiraf jika tak daftar dengan Jais - Pengerusi Mais

Isu pernikahan di luar negara khususnya Thailand hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu. Gambar hiasan

MAJLIS Agama Islam Selangor (Mais) tidak akan mengiktiraf pernikahan individu di luar negara sekiranya tidak didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sambil menambah, walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, pengiktirafan tidak diberikan kepada pasangan yang gagal mendaftar.

Malah, pasangan berkenaan juga perlu membayar denda.

"Kita tidak menghalang individu hendak bernikah di luar negara (kerana) negara berkenaan pun tiada halangan, mereka ada jurunikah dan imammya... tetapi kita, secara undang-undang dan peraturan sedia ada kita tidak iktiraf.

ARTIKEL BERKAITAN: Makin ghairah orang Malaysia kahwin lari di Siam, ejen selamba tawar pakej guna FB - “Nak komen tanya harga takut bini nampak”

"Apabila mereka akad nikah di negara luar... mereka akan kena denda di sini, terpaksa pergi ke mahkamah untuk mendaftarkan dan mengesahkan mereka (pasangan itu) sudah berkahwin.

"Walaupun sah berkahwin, cukup syarat.. sekiranya mereka berkahwin di luar negara tidak didaftarkan di Jais, kita tidak boleh mengiktiraf perkahwinan mereka," katanya memetik laporan Harian Metro.

Abdul Aziz menambah, pasangan yang gagal mendaftarkan pernikahan mereka dengan Jais juga akan menyukarkan banyak perkara untuk jangka masa panjang.

"Urusan anak hendak berkahwin juga susah jika perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan dan diiktiraf di Selangor... begitu juga berkaitan pembahagian harta pusaka," jelasnya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai pakej pernikahan di luar negara, Abdul Aziz berkata setakat ini tiada sebarang jalinan kerjasama dilakukan dengan pihak yang menawarkan pakej pernikahan yang dimaksudkan itu.

Ini kerana ujarnya, pihak Jais mempunyai pendaftar dan jurunikah mencukupi di setiap daerah negeri ini bagi memudahkan proses akad nikah dilaksanakan dengan sebaiknya.

Mstar sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan sebuah laman Facebook, Pakej Nikah Thailand, yang dilihat aktif mempromosikan perkhidmatan mereka di laman sosial itu.

Menerusi keterangan yang dikongsikan pengendali akaun tersebut, pihaknya menawarkan servis merangkumi urusan bernikah, poligami, penceraian dan fasakh, dengan segala dokumen yang diperlukan akan disediakan oleh mereka.

Isu pernikahan di Thailand hangat diperkatakan di media sosial sejak beberapa hari lalu susulan pendedahan pengarah filem, Syamsul Yusof yang mengaku bernikah buat kali kedua dengan pelakon, Ira Kazar di Thailand, pada Jumaat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain