suria

“50 peratus tenat... peluang hidup tipis” - Lebih 100 anjing kurus, tak dijaga rapi di pusat kurungan dapat perhatian NGO

110 ekor anjing dilihat dalam keadaan kebuluran di Pusat Kurungan Kuala Langat.

SEDIH melihat nasib anjing-anjung terbiar yang ditangkap dan dikurung oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam gambar yang tular.

Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Dogs Deserve Better (MDDB) Wani Muthiah berkata, gambar anjing-anjing dalam pusat kurungan itu tular setelah seorang pemilik haiwan mencari anjingnya yang mungkin ditangkap oleh pihak berkuasa.

Pemilik haiwan tersebut terkejut melihat keadaan anjing liar di pusat kurungan anjing di Kuala Langat itu dan kemudian berkongsi beberapa gambar di media sosial.

Menerusi foto-foto yang dikongsi, kira-kira 100 ekor haiwan itu dilihat kurus kering sehingga nampak tulang, dipercayai diabaikan dan tidak mendapat makanan yang sewajarnya.

Hantaran asal Malaysian Dogs Deserve Better di Facebook.

Menurut Wani, terdapat prosedur operasi standard (SOP) dalam menangkap anjing liar, yang mana haiwan tersebut perlu dijaga dengan berperikemanusiaan dalam tempoh seminggu sebelum ditidurkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

MPKL mengeluarkan kenyataan pada Rabu, memberitahu orang ramai bahawa pihak mereka dengan kerjasama Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) telah mengambil tindakan dengan membersih dan meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan tersebut.

“Semua haiwan yang ditangkap itu dijaga di pusat kurungan dengan diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang,” susulan laporan Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKL.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hasrat bantu ibu buat COD bertukar tragedi, anak digigit anjing jiran... Tapi tak minta maaf, siap cakap sekadar bergurau!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anjing setia tahap tertinggi... enggan berganjak, sabar tunggu tuan datang ambil! Pemuda sanggup hiking sehari 2 kali nak beri makan

Wani turut mempertikaikan bagaimana boleh terdapat begitu banyak anjing dalam pusat kurungan tersebut dan keadaan masing-masing sangat menyedihkan.

“Selalunya, dalam sehari, pihak berkuasa akan tangkap dalam 10 hingga 15 anjing sahaja berdasarkan aduan oleh penduduk.

“Tapi, macam mana boleh ada sampai 110 anjing dalam pusat kurungan tersebut? Apa ceritanya?

“50 peratus daripada jumlah anjing yang dijumpai dalam keadaan tenat, dan peluang hidup sangat tipis,” ujarnya kepada mStar.

Keadaan anjing yang tidak dijaga dengan baik di Pusat Kurungan MPKL.

Wani berkata susulan gambar tular, persatuan dan NGO berkaitan di Selangor bersatu dalam menyelamatkan anjing-anjing tersebut.

“Ada banyak NGO yang tampil bagi mengambil anjing-anjing tersebut untuk menempatkan mereka di pusat perlindungan haiwan masing-masing.

“Atas dasar muhibah, pihak MPKL pun menyediakan lori dan bantu bawa anjing-anjing tersebut keluar, tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

50 peratus daripada jumlah anjing yang dijumpai dalam keadaan tenat, dan peluang hidup sangat tipis.

WANI MUTHIAH

Pihak NGO akan membantu haiwan terbiar tersebut dengan memberikan rawatan seperti suntikan vaksin, dimandulkan dan setelah itu, diberikan kepada mereka yang mahu memelihara haiwan ini.

Selain itu, pengasas NGO tersebut itu berkata yang kaedah mengendalikan haiwan terbiar ini juga gagal berdasarkan gambar-gambar yang tular.

Dia mencadangkan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan kaedah Tangkap, Mandul, Lepas, Mengurus (TNRM) untuk mengawal pembiakan binatang liar tersebut.

Wani berpandangan, pilihan terbaik jika orang ramai ingin membantu ialah dengan mengambil haiwan yang tidak mempunyai tuan di pusat perlindungan haiwan berdekatan dan memberikannya kasih sayang serta kelengkapan secukupnya.

Antara komen netizen di Facebook.

Hantaran asal MDDB di Facebook itu dibanjiri komen warganet yang turut prihatin dengan keadaan anjing-anjing tersebut.

“Saya rasa kalau dia hidup berkeliaran atau jadi anjing liar pun mungkin lebih gemuk dan sihat. Dia boleh cari makanan sendiri daripada terkurung dan makanan tak cukup, dan makan pun perlu ikut jadual sahaja.

“Nak tangkap boleh, tapi bagilah makanan kalau dah kurung.

“Harap mereka cepat diselamatkan.

“Jangan aniaya binatang, kalau dah kurung bagilah makan dan minum. Kita jangan lupa setiap apa yang kita buat akan dikira di akhirat nanti.

“Zalimnya manusia,” demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain