SEORANG murid tahun tiga memfailkan saman sivil terhadap seorang guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) yang didakwa mencederakannya sehingga mengalami patah kaki kanan dalam satu kejadian, Julai tahun lalu. Memetik laporan Kosmo!, mangsa, Muhammad Izz Anaqi Mohd Izwan, 10, dan ibunya, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, mengemukakan saman terhadap Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, (defendan pertama) dan Yayasan Islam Terengganu (defendan kedua) bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM410,000 merangkumi ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas. Writ saman sivil berkenaan difailkan menerusi peguam, Mohd Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Khamis. Berdasarkan penyataan tuntutan, defendan pertama didakwa telah menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022. ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes guru Kafa rotan murid hingga berbirat Perbuatan tersebut dipercayai berpunca selepas Ahmad Mursyidi tidak berpuas hati melihat kanak-kanak lelaki berkenaan bermain dengan rakan-rakan lain di belakang bilik darjah. Muhammad Izz Anaqi tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas telah dirujuk sebuah klinik swasta yang mengesahkan kaki kanannya patah berdasarkan imbasan x-Ray. Laporan polis dibuat pada 8 Julai tahun lalu, di mana defendan pertama kemudiannya didakwa pada 12 Oktober tahun sama, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Marang. Saman sivil dikemukakan oleh plaintif bagi mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya. Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan kes. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI