suria

Anak tak pakai topi keledar jatuh tergolek, muka terseret atas jalan... Rakaman motosikal rempuh BMW buat ramai ‘kecut perut’

Pemandu kereta yang dilanggar bergegas turun untuk melihat keadaan mangsa.

TULAR di media sosial rakaman kemalangan membabitkan motosikal merempuh sebuah kereta jenis BMW pada Rabu.

Berdasarkan rakaman papan pemuka (dashboard), motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama kanak-kanak dipercayai anaknya itu secara tiba-tiba hilang kawalan.

Ketika rempuhan, anak kecil itu tercampak ke atas jalan raya dan terduduk kaku berkemungkinan terkejut dengan apa yang baru berlaku.

Pemandu kereta yang dirempuh motosikal itu kemudian bergegas keluar untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu.

Apa yang lebih membimbangkan apabila kanak-kanak itu dilihat tidak dipakaikan topi keledar.

Manakala si bapa dilihat turut tercampak ke atas jalan selepas motosikalnya merempuh pula pembahagi jalan.

"Kejadian depan mata hari ni, Allahuakbar. Sedih dan kesian kat budak tu.

"Kepada yang bawa anak naik motor tu, hati-hati la ya," kata individu yang menggunakan nama Zoul BraveSlick di Facebook.

Menurutnya kejadian malang itu berlaku di lampu isyarat berdekatan Endah Parade di Sri Petaling berdekatan susur ke Bukit Jalil.

Sementara itu di ruangan komen, individu berkenaan berkongsi foto keadaan terkini mangsa.

"Alhamdulillah, rider dengan anak selamat. Cuma anak dia ada macam trauma sikit. Rider cedera luka dan mungkin terseliuh dengan effect pada pinggang.

"Saya ada di tempat kejadian, anak dia berdarah dekat mulut. Dahi dan hidung terseret," kata beberapa netizen yang dikatakan menjadi saksi di tempat kejadian.

Si anak dilihat berada di sisi bapanya terkulai layu berkemungkinan masih cuba menghadam insiden yang baru menimpa.

Bapa dan anaknya selepas kejadian.

Netizen di media sosial mempercayai si bapa mengalami sindrom tertidur tanpa sedar (microsleep) kerana berdasarkan rakaman video itu dia memberikan lampu tanda ke arah (signal) ke kiri tetapi sebaliknya membelok ke kanan.

Selain itu ketika kejadian, motosikal yang dibawa si bapa itu tanpa sebab merempuh kenderaan lain dengan kelajuan yang tinggi memberikan indikasi yang dia berkemungkinan terlelap sebentar.

"Ni microsleep ni. Daripada bahu jalan dekat kiri tiba-tiba ke tengah, lepas tu ke kanan, lepas tu berlanggar dengan kereta BMW.

"Cara dia bawa motosikal tu macam dah microsleep. Mungkin sangat penat. Kita tak akan pernah tahu apa yang menyebabkan dia sampai penat macam tu.

"Semoga tidak ada apa-apa yang serius dan semuanya dipermudahkan untuk mereka," kata beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain