POLIS merakamkan keterangan lapan individu berhubung kes sebuah beg mengandungi al-Quran ditemui di dalam longkang di Jinjang, Kuala Lumpur. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, seramai lapan individu dipanggil untuk membantu siasatan, setakat Selasa. "Kita telah mengambil keterangan daripada lapan individu termasuk pengadu, yang dilihat dalam video TikTok dan orang yang merakamnya. "Kita juga akan melakukan siasatan di masjid berhampiran bagi mengenal pasti sama ada al-Quran dari situ atau tidak," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program KL Cops Night Ride Polis Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Ajaib! Dua naskhah al-Quran tetap kering walau ditenggelami air banjir di Hulu Langat... Itulah bukti kekuasaan Allah! Azmi berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang al-Quran tersebut. "Kita akan hantar al-Quran ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan juga sistem pengawasan lalu lintas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar lokasi kejadian," katanya. Dalam pada itu, Azmi mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang dan masa kepada polis untuk menyiasat kejadian itu. Terdahulu, seorang wanita berusia 52 tahun membuat laporan polis bahawa dia menemui 13 naskhah al-Quran di dalam longkang di Tasik Sri Murni Jinjang, pada kira-kira 6.30 petang Sabtu lalu. Video berhubung kejadian itu tular di TikTok. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube