suria

Isteri maut, suami berpangkat Lans Koperal lepaskan lebih 5 das tembakan selepas pulang bekerja

Seorang anggota polis dipercayai menembak isterinya pada Ahad pagi. -Foto BH

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal menembak isterinya kira-kira 6 jam pagi, dalam kejadian di Kangar, Perlis, Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, tembakan dilakukan di kediaman pasangan itu di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Jalan Kangar-Alor Setar.

"Kejadian berlaku selepas suspek baru sahaja tamat syif tugasan dan berdasarkan saksi kejadian iaitu bapa mentuanya, dia tiba-tiba mengeluarkan pistolnya jenis Walther P99 dan menembak isterinya yang dikenali sebagai Safsufarnisya Salleh, 27 tahun.

"Suspek melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat mengenai bahagian muka, terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Ahad.

Memetik laporan Berita Harian, kata Yusharifuddin, tembakan itu juga menyebabkan bapa dan ibu mentua, anak saudara suspek yang turut mendiami kediaman itu lari meninggalkan rumah.

"Bapa mentua suspek kemudian menelefon anak lelakinya untuk memaklumkan kejadian, sebelum menghubungi polis.

"Polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 pagi, pergi ke rumah mangsa dan didapati suspek masih berada dalam rumah.

"Cubaan untuk meminta suspek menyerah diri gagal apabila suspek mendiamkan diri dalam rumah. Polis berjaya memasuki rumah berkenaan dan didapati suspek hanya duduk mendiamkan diri, di samping pistol masih lagi berada dalam tangannya," katanya.

Tambahnya, suspek ditahan dan mayat isterinya pula ditemui dalam keadaan mengiring di atas katil di bilik berkenaan.

"Beberapa kelongsong peluru turut ditemui di lantai. Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan kerana didapati tidak berlaku pergaduhan atau pertikaian di antara pasangan berkenaan yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.

"Siasatan juga akan menjurus sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebagainya.

"Pasangan berkenaan tidak mempunyai anak dan suspek sudah empat tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis," katanya.

Beliau turut menjelaskan anggota polis boleh membawa pulang senjata api dengan kebenaran daripada ketua jabatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Kangar.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Kangar pada Isnin untuk perintah reman.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain