suria

“Mungkin didakwa esok” - SPRM sahkan pendakwaan Muhyiddin, belum putuskan penahanan

Muhyiddin hadir ke SPRM untuk memberi keterangan mengenai dakwaan salah guna dana RM300 juta ke akaun Bersatu. Foto: The Star

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka didakwa di mahkamah pada Jumaat (10 Mac).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pada Khamis (9 Mac).

"Dia tidak akan dibawa ke mahkamah hari ini. Kemungkinan dia akan didakwa esok," katanya.

Ketika ditanya, Azam berkata terpulang kepada pasukan penyiasatan untuk memutuskan sama ada Muhyiddin akan ditahan semalaman di ibu pejabat SPRM.

SPRM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin Bersatu hadir ke ibu pejabat SPRM, beri sokongan kepada Muhyiddin

ARTIKEL BERKAITAN: Nafi kena tahan di padang golf, Muhyiddin sahkan dipanggil SPRM pada Khamis

Bekas perdana menteri itu dipercayai dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19.

Muhyiddin menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkan ia adalah fitnah politik bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya sebagai perdana menteri kelapan.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin berkata SPRM mengesahkan beliau bukan suspek dalam siasatan yang sedang dijalankan apabila dipanggil untuk memberikan keterangan.

Muhyiddin juga menamakan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai individu yang meluluskan syarikat mengambil bahagian dalam program Jana Wibawa, yang dilancarkan semasa pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor bumiputera.

Tengku Zafrul juga telah disoal siasat oleh SPRM, selain beberapa pemimpin Bersatu turut dipanggil badan pencegahan rasuah itu.

Pada 2 Mac, Bendahari Bersatu Datuk Seri Mohd Salleh Bajuri ditahan reman tetapi dibebaskan pada 3 Mac.

Sebelum itu, bekas Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah.

Mereka didakwa menerima rasuah daripada penganugerahan projek semasa Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain