suria

Tak benarkan tengok TV, anak tergamak baling alat kawalan jauh hingga dahi bapa cedera

Suspek yang berusia 41 tahun ditahan polis pada hari yang sama. Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana bertindak membaling alat kawalan jauh televisyen hingga menyebabkan kecederaan pada bapanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi Isnin di rumah dua beranak berkenaan di Taman Bukit Teratai, Ampang dikatakan bermula ekoran perselisihan faham di antara suspek dengan bapanya yang berusia 74 tahun.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak membenarkan pengadu menonton televisyen kerana tidak suka tindakan bapanya yang suka menguatkan audio televisyen.

"Suspek kemudian membaling alat kawalan jauh televisyen ke arah mangsa yang terkena pada bahagian kepala pengadu sehingga dia mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Akibat balingan alat kawalan jauh televisyen itu, mangsa mengalami kecederaan tisu pada bahagian dahi dan telah menerima rawatan di Hospital Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nasib baik tak patah tengkuk” - Lelaki terajang bapa tiri ditahan polis

Suspek kemudian ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 2.20 petang pada hari sama.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing juga didapati negatif dadah.

Polis juga turut merampas satu unit alat kawalan jauh televisyen jenis Samsung yang digunakan suspek.

"Permohonan reman terhadap suspek dilakukan pada hari ini (Selasa) di Mahkamah Majistret Ampang," ujarnya.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain