suria

“Kalau awak tak biasa masak…” - Khairulaming jawab teguran resipi banyak minyak, orang diet boleh ubah ikut selera sendiri

Khairulaming turut berkongsi tentang perjalanan dietnya dalam video penjelasan itu.

PERSONALITI masakan, Khairulaming tampil menjawab teguran orang ramai termasuk pakar perubatan terkenal Dr Rafidah Abdullah berhubung menu masakannya yang dianggap tidak sihat kerana menggunakan banyak minyak.

Menurut Khairulaming atau Khairul Amin Kamarulzaman menerusi video di media sosialnya, sebagai content creator masakan dia turut bertanggungjawab berkongsi realiti sebenar serta cara asal penyediaan makanan yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat kita selama ini.

"Kita boleh buat semua tu (olahan), kurangkan minyak, tukar resipi dan bahan... tapi jadi tak sedap macam yang asli. Kalau kita nak sambal yang sedap, kita kena masak dalam minyak yang banyak supaya ia pecah minyak.

"Kalau nak ayam goreng yang juicy dan crispy, kena deep fried dalam minyak yang banyak. Itulah cara ia disediakan. Kalau nak ubah, boleh... tapi jadi tak sedap macam yang asal, itu saja.

"Saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula, minyak semua tu, sebab saya nak bagi realiti. Itulah cara sebenar makanan disediakan di luar sana. Kalau awak tak biasa masak, pergi kedai makan, awak tak rasa bersalah sangat.

"Tapi apabila saya tunjuk video masak, orang kata banyaknya minyak. Sebenarnya sama saja macam kat kedai makan. Cuma kita tak sedar, sebab kita tak pernah masak benda tu," ujarnya.

Terdahulu Dr Rafidah menegur Khairulaming secara terbuka di Twitter gara-gara video penyediaan sambal hijau menggunakan kuantiti minyak yang sangat banyak.

Kata Dr Rafidah Khairulaming perlu lebih peka tentang masalah kesihatan rakyat Malaysia yang semakin merudum.

Mengulas lanjut tentang resipi yang dikongsikannya, Khairulaming berkata ia terpulang kepada individu untuk mengubahnya menjadi menu yang lebih sihat dan dia sendiri tidak berupaya untuk memuaskan semua pihak.

"Sekarang apabila saya tunjuk cara masakannya, sekurang-kurangnya kamu sedar. Maksudnya kalau beli mi goreng di kedai, banyak ni minyak masak yang digunakan. Jadi sekarang anda boleh buat pilihan sendiri.

"Kalau saya ubah resipi ia akan jadi kurang sedap. Kemudian apabila orang cuba dan tak sedap, dia maki saya balik. Jadi saya tak boleh puaskan hati semua orang. Sebab dalam Malaysia, like it or not, tak semua orang tengah nak diet, nak jaga badan.

"Ada nak makan sedap je, saya cuma tunjuk cara ia disediakan dalam dunia sebenar, dan kamu buat keputusan sendiri. Saya tak boleh kawal. Tapi lepas dah siap, kamu boleh kawal portion makan.

ka2

Dr Rafidah menegur menu yang dihasilkan oleh personaliti masakan itu.

"Kalau anda nak ubah resipi, nak tukar bahan lain ke, boleh tak ada masalah. Boleh buat ikut selera masing-masing. Tapi yang penting apabila dah makan nanti, always jaga portion," jelasnya panjang lebar.

Dalam penjelasan sama, Khairulaming berkata dia menerima segala teguran dengan hati terbuka dan setuju bahawa rakyat Malaysia perlu menjaga kesihatan diri.

Malah katanya, dia sendiri pernah berdepan masalah obesiti, sekali gus cukup faham dengan sentimen yang dilemparkan kepadanya di media sosial tentang isu kesihatan dalam pemakanan.

"Saya terima banyak respons. Ada yang minta saya teruskan memasak ikut cara sendiri, ada yang kata ia membahayakan kesihatan negara (rakyat). Saya terima semua dengan hati terbuka.

"Saya setuju, kesihatan adalah nombor satu. Empat bulan lepas, berat saya 113 kilogram (kg) dengan tinggi 184 sentimeter (cm). Jadi Indeks Jisim Tubuh (BMI) saya sangat tinggi, kategori obesiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Masakan terlebih minyak, resipi sambal hijau Khairulaming ditegur Dr Rafidah - “Harap akan datang adalah makanan sihat”

"Ini saya sekarang, berat 100 kg. Maknanya saya dah hilang 13kg. BMI saya masih terlebih berat tapi saya dah keluar daripada kategori obesiti. Lemak badan juga turun 44 peratus kepada 29 peratus," ujarnya.

Menurut Khairulaming, dia juga pernah mencuba untuk makan secara sihat namun tidak berupaya mengekalkan dietnya,

Sebagai solusi kata Khairulaming, dia tetap menikmati semua masakan yang sedap, namun akan mengawal jumlah pengambilannya.

"Dua tahun lepas saya ada buat journey 'Amin Nak Sihat' untuk diet tu, memang sihat, memang kurus tapi berat naik balik lebih tinggi lepas tu.

"Why, sebab saya develope a hate relationship dengan makanan tempatan. Masa nak diet, orang kata jangan makan white rice, makan brown rice, makan salmon, rebus bayam, brokoli

"Saya ikut tapi saya derita sebab kita tak boleh makan makanan sekeliling kita. Lepas tu nampak mi goreng, nasi kukus, nasi ayam, saya makan je semua tanpa kawal portion. Jadi berat naik semula.

"Untuk journey kali ni, saya tukar cara. Saya eat clean setiap hari, tapi saya tetap nikmati makanan Malaysia yang sedap ni. Makanan kita sedap, rugi kalau tak makan, cuma kena kawal portion," ujarnya.

Akhir bicara, Khairulaming turut meminta orang ramai agar terus mengutamakan kesihatan dan tidak bergaduh tentang isu remeh-temeh di media sosial.

"Harap tak ada gaduh-gaduh dalam bulan Ramadan. Jaga kesihatan, jangan lupa bersenam, dan jaga portion," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain