suria

Melepas baju raya RM1! Orang ramai ‘merusuh’ demi pakaian murah, butik terkenal di Shah Alam terpaksa henti jualan

Tular di media sosial orang ramai berebut Baju Melayu RM1.

KECOH di media sosial mengenai sebuah video menunjukkan orang ramai berpusu-pusu di hadapan sebuah butik di Seksyen 7 Shah Alam, Selangor pada awal pagi Sabtu.

Berdasarkan rakaman yang tular, orang ramai kelihatan membanjiri butik berkenaan bagi mendapatkan promosi hari raya.

Kekecohan berlaku apabila kedai pakaian itu membuat promosi untuk 100 orang pertama dapat membeli pakaian pada harga RM1, manakala 50 orang berikutnya mendapat baju kurta percuma.

Sejurus pintu dibuka, dapat dilihat berlakunya huru-hara hingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Keadaan di luar kedai di mana orang ramai menunggu butik dibuka. Foto: TikTok

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu sekitar jam 10.30 pagi

"Dianggarkan kira-kira 500 orang berkerumun di kedai itu untuk mendapatkan harga promosi, yang membawa kepada pergolakan dan tekanan dalam kalangan kumpulan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara jualan gila raya, kecoh ‘rusuhan’ di butik sehingga kasut melayang... “Ibu hamil terpaksa diselamatkan”

“Sekitar pukul 11.45 pagi, pihak pengurusan menghentikan operasi atas sebab keselamatan kerana tidak dapat mengawal jumlah pengunjung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu Mohd Iqbal turut menasihati peniaga agar tidak melakukan promosi yang boleh mewujudkan ketegangan apabila keadaan gagal dikawal.

“Pada masa sama, pemilik perniagaan perlu bertimbang rasa dan mengelak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelak situasi serupa berulang,” katanya.

Terdahulu berdasarkan rakaman yang tular, dapat dilihat orang ramai daripada pelbagai peringkat usia berasak-asak untuk memasuki kedai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain