suria

Tergamak rogol anak berusia 11 tahun! Mekanik dijatuhi hukuman sebat 10 kali, penjara 18 tahun

Seorang mekanik dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk didakwa atas jenayah merogol.

SEORANG mekanik berusia 47 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban atas pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 11 tahun.

Hakim Datin Surita Budin turut memerintahkan lelaki itu disebat sebanyak 10 kali atas kesalahan itu.

"Saya harap ini menjadi pengajaran untuk anda," katanya selepas menyampaikan penghakimannya pada Isnin.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sejurus tengah malam di sebuah rumah di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan antara 20 dan 31 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dengan 10 kali sebatan.

Selain itu, dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa empat bulan kemudian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, boleh dihukum di bawah Seksyen 16 perundangan yang sama.

Pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Malah, dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara 11 dan 20 April 2018.

Hakim Surita kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kepada tertuduh.

Dia mengarahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan serentak.

Bagi meringankan beban, lelaki itu merayu hukuman ringan kerana keempat-empat anaknya bersekolah.

“Isteri saya hanya suri rumah dan dia tidak tahu memandu.

“Saya juga mempunyai beberapa masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan asma.

"Saya benar-benar menyesal dengan apa yang saya lakukan," katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa hanya memberitahu rakan sekolah mengenai rogol dan serangan seksual itu awal bulan ini.

Mereka kemudian melaporkannya kepada seorang guru yang membawa mangsa untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan jenayah itu.

“Sebagai bapa, dia sepatutnya melindungi anak perempuannya daripada melakukan jenayah keji itu.

"Rogol dan serangan seksual fizikal sudah pasti akan menyebabkan mangsa trauma selama bertahun-tahun," tambahnya. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain