suria

Rezeki Ramadan... Rakyat boleh tarik nafas lega, 8.7 juta B40 terima STR Fasa 2

(Dari kiri) Ibrahim, Mat Saad, Rajasegaran dan Chin Leong menerima bayaran STR.

SERAMAI 8.7 juta golongan B40 boleh menarik nafas lega apabila bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 disalurkan secara berperingkat mulai 5 April.

Ia sekali gus memberi kelegaan terutama kepada penerima yang beragama Islam bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Kementerian Kewangan, pembayaran STR Fasa 2 membabitkan peruntukan berjumlah RM1.26 bilion, akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR.

Penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank juga boleh mendapatkan bayaran tersebut di cawangan BSN bermula dari tarikh yang sama.

Bagi penerima STR yang tinggal di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak dan tidak mempunyai akses perbankan, mereka boleh melakukan penunaian melalui Cawangan Bank Bergerak BSN.

Pengumuman mengenai STR Fasa 2 dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 pada 29 Mac lalu.

"Dana itu akan disalurkan kepada penerima pada bulan Ramadan, termasuk golongan bujang berumur 21 hingga 59 tahun yang berpendapatan kurang RM2,500 sebulan.

"Pembayaran kedua ini melibatkan Sumbangan Tunai Rahmah berjumlah RM2.93 bilion yang disalurkan kepada kumpulan B40 pada 2023," kata Perdana Menteri.

Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR.

STR Fasa 2 by MOF Pic 2

Penyerahan bayaran STR Fasa 2 di Bank Simpanan Nasional Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bantuan STR mendapat pujian secara meluas kerana keberkesanannya dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pesara tentera, Mat Saad Hashim, 59, berkata, bantuan wang tunai sebanyak RM100 amat berguna buatnya.

"Ia mungkin bukan jumlah yang besar bagi sesetengah orang, tetapi ia adalah bantuan yang tepat pada masanya untuk orang seperti saya," katanya yang berstatus bujang.

Mat Saad yang menetap di Kubang Semang, Pulau Pinang sebelum ini turut menerima bantuan RM100 pada Januari lalu menerusi STR Fasa 1.

Jelasnya, dia gembira dengan keprihatinan kerajaan persekutuan yang telah menjenamakan semula dan meneruskan program bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan.

Ibrahim Abdullah, 49, yang juga berstatus bujang, memuji inisiatif kerajaan persekutuan dan menggesa agar bantuan kewangan itu diteruskan memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Sementara itu, K. Rajasegaran, 41, pula berkata, proses pembayaran STR di Bank Simpanan Nasional hanya mengambil masa kurang daripada 20 minit.

Rajasegara yang merupakan peniaga roti canai, layak menerima STR di bawah kategori keluarga.

Bagi Teoh Chin Leong, 53, yang menerima bayaran STR RM200, dia merancang untuk menggunakan wang itu bagi membiayai bahan pengajian anak perempuannya di universiti.

Kejayaan bantuan tunai menerusi STR memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menyokong rakyat Malaysia yang memerlukan, dan memberi sumbangan secara signifikan dalam meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah di seluruh negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain