suria

Jenazah Awang Askandar tiba di kampung halaman, akan dikebumi bersebelahan pusara ibu

Jenazah di MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 2.20 petang Sabtu. Foto: Bernama

JENAZAH pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, tiba di MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 2.20 petang Sabtu.

Ketibaan jenazah disambut abangnya, Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, sebagai satu-satunya wakil keluarga.

"Saya seorang sahaja di sini mewakili keluarga, isteri dan anak arwah ada di rumah.

"Kami berdukacita dengan pemergian Awang Askandar," katanya ringkas ketika ditemui di perkarangan MASKargo.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali; bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki OKU pendengaran hilang selepas tawan Everest, ada orang nampak keluar sendirian dari kem pada awal pagi

Jenazah Awang Askandar, 56, terus diusung masuk ke dalam kenderaan khas untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dibawa ke Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni dan akan dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni.

Allahyarham merupakan salah seorang yang menyertai misi ME2023 bersama tiga pendaki lain iaitu Muhammad Hawari Hashim, 33, Azim Afif Ishak, 35, dan Tiong Ling Yang, 30.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh pada 19 Mei lalu semasa berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu hanya 20 minit sebelum sampai ke puncak Everest.

Seorang lagi peserta ME2023, Muhammad Hawari pula dilaporkan hilang selepas turun berehat di Camp IV (kem empat) setelah berjaya menawan puncak gunung (8,848 meter dari paras laut).

Usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain