suria

Malim gunung seret, bergilir-gilir dukung pendaki Malaysia keluar ‘zon maut’ Everest - “Kami balut dengan sleeping mat”

Malim gunung Everest ini menyelamatkan seorang pendaki Malaysia yang hampir terkorban.

SEORANG pendaki Malaysia terselamat daripada ajal selepas malim gunung atau sherpa dari Nepal berjaya membantu membawa keluar mangsa yang terkandas di 'zon maut' di Gunung Everest pada 18 Mei lalu.

Pada ketika itu Gelje Sherpa, 30, sedang membawa seorang pendaki China ke puncak Everest setinggi 8,849meter (m) sebelum dia melihat seorang pendaki Malaysia sedang berpaut pada tali, begitu hampir dengan kematian.

Dia dilihat menggigil kerana cuaca sejuk melampau di lokasi dikenali sebagai 'zon maut' di mana suhu boleh jatuh ke bawah takat beku iaitu -30 darjah celcius atau lebih rendah.

Gelje menarik pendaki Malaysia itu sejauh 600m menuruni kawasan Balcony ke South Col untuk tempoh kira-kira enam jam sebelum seorang lagi sherpa, Nima Tahi turut sama menghulurkan bantuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki OKU pendengaran hilang selepas tawan Everest, ada orang nampak keluar sendirian dari kem pada awal pagi

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Awang Askandar tiba di kampung halaman, akan dikebumi bersebelahan pusara ibu

“Kami membalut pendaki itu dengan sleeping mat (tikar tidur), menyeretnya di atas salji atau ada kalanya menggalas mangsa secara bergilir ke Kem III,” katanya.

Sebuah helikopter kemudiannya tiba bagi membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter untuk diangkut turun ke 'base camp'.

“Ia adalah hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki pada ketinggian seperti itu.

“Ia satu operasi yang jarang dilakukan," kata Bigyan Koirala, seorang pegawai Jabatan Pelancongan.

Gelje berkata, dia turut meyakinkan pendaki China yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana baginya misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.

“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” kata Gelje.

Tashi Lakhpa Sherpa dari syarikat Seven Summit Treks yang memberi khidmat logistik kepada pendaki Malaysia itu bagaimanapun enggan menamakan mangsa atas dasar privasi.

Pendaki itu sudah dibawa pulang ke Malaysia minggu lalu.

Nepal dilaporkan mengeluarkan 478 permit untuk mendaki Everest ketika musim pendakian pada Mac hingga Mei.

Sekurang-kurangnya 12 pendaki dilaporkan meninggal dunia iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan selama lapan tahun, manakala lima lagi masih hilang di gunung itu. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain