MALANG tidak berbau. Begitulah kisah seorang kanak-kanak yang dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, Perak selepas dipatuk seekor ular kapak pada Rabu. Kisah tragis itu meraih perhatian netizen selepas dikongsi sendiri oleh bapa mangsa, Shimi Desa menerusi aplikasi TikTok pada keesokan harinya. "Maafkan walid sayang. Walid tak nampak kat situ ada ular," ujarnya pada video. Menurut Shimi lagi, ular berkenaan bersembunyi di dalam kasut sebelum mematuk anak bongsunya, Muhammad Aqil yang sedang bermain di kawasan kediamannya. Keadaan mangsa semakin baik selepas tiga hari dirawat di hospital. "Dapat tahu je kena patuk, terus gerak ke hospital. Waktu ni aku panik gila. Aku bawa selaju mungkin sambil pangku anak kat riba. Sementara nak sampai tu, dia nangis menjerit tak tahan sakit. "Sampai hospital, doktor sahkan tu ular kapak. Spesis berbisa. Perlu ambil ujian darah dan antivenom. Nangis aku tengok anak sakit," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa nampak ular ‘target’ anak sedang mandi air terjun tapi tak sempat bertindak, tiba-tiba dah kena patuk 2 kali - “Dua klinik tak terima kes ni” Shimi turut berkongsi foto, memaparkan tangan anaknya yang semakin bengkak sehingga ke bahagian bahu. Lebih menyedihkan, jari anaknya juga bertukar biru, menyebabkan si comel itu terlantar lesu di katil hospital. Dalam pada itu, Shimi berkata keadaan anaknya mula stabil pada hari ketiga, namun mangsa masih berada di bawah pemantauan doktor. Di ruangan komen, rata-rata netizen turut mendoakan kesihatan mangsa dan berharap ibu bapa terus memantau anak-anak mereka agar kejadian serupa tidak berulang. Video kejadian itu turut meraih lebih 2 juta tontonan di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube