suria

Star Golden Hearts Award raikan wira tidak didendang dengan rangsangan lebih besar

Star Golden Hearts Award merupakan usaha bersama The Star dan Yayasan Gamuda untuk meraikan rakyat Malaysia.

CABARAN dunia boleh menjadi satu perkara menakutkan, namun usaha kecil yang dilakukan secara kolektif boleh menjadikan ia sebuah tempat yang lebih baik.

Di Malaysia, kita tidak kekurangan wira yang tak didendang, dan Star Golden Hearts Award (SGHA) menjadi buktinya selama hampir sedekad.

Kembali untuk tahun kesembilan, anugerah tahunan itu merupakan usaha bersama The Star dan Yayasan Gamuda untuk meraikan rakyat Malaysia yang setiap hari memberi impak positif kepada rakyat dan planet sambil menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Orang ramai kini boleh menunjukkan penghargaan dan memberi semangat kepada wira harian ini dengan mencalonkan mereka untuk anugerah itu.

Tahun ini, penerima anugerah berpeluang menerima rangsangan lebih besar dengan hadiah yang dipertingkatkan.

Sepuluh pemenang akan dipilih, dan masing-masing bakal menerima wang tunai RM15,000, di samping publisiti media eksklusif merentasi pelbagai platform Kumpulan Media Star untuk menguatkan lagi usaha mereka.

Di samping itu sepuluh pemenang juga akan bertanding untuk Anugerah Inspirasi Gamuda (GIA) dengan geran tambahan RM50,000.

Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star (SMG), Esther Ng menegaskan komitmen SGHA untuk terus menyokong mereka yang membuat perubahan dan memberi sumbangan bermakna dalam masyarakat.

"Kami percaya dengan peranan penting yang dimainkan kumpulan ini dalam membentuk sebuah negara dengan rakyat yang baik hati.

"Oleh itu, sebagai sebuah organisasi media, kami amat berbesar hati memberikan publisiti yang lebih luas untuk membantu meneruskan tujuan baik mereka," kongsinya.

Mengambil contoh daripada pemenang SGHA tahun-tahun sebelumnya, Ng memuji rakyat Malaysia sebagai kreatif dan inovatif apabila bercakap mengenai usaha melakukan perubahan dalam masyarakat.

"Kami tahu ada ramai lagi wira seumpama itu di luar sana menunggu untuk ditemui, sebab itu kami menyeru orang ramai untuk membantu mencalonkan mereka untuk anugerah tersebut," katanya.

Ng percaya bahawa The Star mampu membantu orang lain mencapai matlamat mereka demi kebaikan bersama.

"Kami berbesar hati apabila mengetahui bagaimana pemenang sebelum ini mendapat perhatian yang lebih tinggi dan sokongan ketara daripada orang ramai selepas memenangi anugerah itu melalui pendedahan media.

“Dengan berbuat demikian, kami juga berharap dapat memberi inspirasi dan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil langkah kecil ke arah impak besar dan mencipta masa depan yang lebih cerah bersama-sama.

"Ini adalah salah satu cara kami memenuhi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi media. Bersama-sama rakan kongsi Yayasan Gamuda, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat perubahan mengikut cara mereka sendiri," tambahnya.

Dengan Yayasan Gamuda menjadi sebahagian daripada anugerah ini untuk tahun kelapan berturut-turut, Ketua Yayasan Gamuda, Ts Lim Hui Yan berkata perkongsian jangka panjang dengan SMG telah memperkasakan usaha sosial untuk memudahkan pembinaan komuniti untuk kebaikan rakyat dan planet kita.

"Sebagai pemain serantau, kami komited untuk mencipta impak positif, dan setakat ini, kami berbangga kerana telah menyokong lebih 70 pembuat perubahan yang luar biasa untuk memperkasakan lagi usaha transformasi masyarakat dan alam sekitar", kata Lim.

Selama bertahun-tahun, Yayasan Gamuda menyaksikan usaha luar biasa daripada pemenang Anugerah Inspirasi Gamuda, seperti Iskul Sama diLaut Omadal pada tahun 2022, mendorong dalam memperjuangkan masyarakat yang lebih inklusif.

Sumbangan cemerlang setiap pemenang adalah rangka tindakan untuk dunia yang lebih adil dan progresif di mana tiada individu akan tertinggal.

Oleh itu, panel penilai SGHA tahun ini diperluaskan kepada pakar alam sekitar, hidupan liar dan keusahawanan sosial.

Pendekatan holistik yang dipertingkatkan ini akan membolehkan SGHA membina rangkaian pembuat perubahan yang lebih teguh khusus untuk memacu perubahan sosial yang progresif.

Pada 2016, apabila Gamuda memulakan perjalanan SGHA bersama The Star, geran GIA adalah berjumlah RM50,000.

Bagaimanapun, memandangkan jurang sosio-ekonomi yang semakin meluas dan keperluan mendesak, Gamuda meningkatkan geran GIA kepada RM120,000.

Orang ramai boleh mencalonkan pembuat perubahan yang memenuhi kriteria pemilihan yang digariskan di www.sgha.com.my sehingga 31 Julai.

Penama boleh dicalonkan untuk pelbagai kategori termasuk pendidikan, alam sekitar dan hidupan liar, kebajikan sosial dan banyak lagi.

SGHA disokong oleh Star Foundation, Star Media Group, bertujuan untuk menyampaikan inisiatif bermakna dengan hasil berkekalan kepada kumpulan penerima yang pelbagai.

SGHA_Infographic_BM_digital_500X540

Pemimpin sektor sosial sebahagian daripada panel penilai SGHA

Ketika Anugerah Star Golden Hearts memasuki tahun kesembilan, ketua hakimnya Tan Sri Lee Lam Thye terus mengetuai panel pemimpin sektor sosial dan pakar dalam bidang masing-masing untuk meraikan wira yang tidak didendang.

Pengerusi Alliance For A Safe Community berharap anugerah itu akan terus mencungkil pembuat perubahan yang layak di mana kisah mereka akan mencetuskan inspirasi ke arah perubahan positif dalam komuniti.

"Tahun demi tahun, SGHA berkembang lebih maju dan kukuh. Ia telah berjaya mengiktiraf wira yang tidak didendang bagi melambangkan semangat perpaduan negara, daripada altruis yang tidak mementingkan diri kepada mereka yang mempunyai inisiatif mampan dan mengubah hidup.

"Rakan-rakan hakim dan saya sendiri berharap dapat menemui lebih ramai pembuat perubahan yang boleh dipuji dengan memberikan perbezaan positif dalam komuniti mereka," katanya.

Sambil menyifatkan pembuat perubahan ini sebagai asas dalam masyarakat, Lee menyeru semua rakyat Malaysia agar mencalonkan wira yang layak untuk diberi penghormatan sewajarnya atas sumbangan mereka yang luar biasa.

Calon akan menjalani proses pemilihan ketat termasuk tapisan, penyenaraian pendek dan penghakiman oleh panel hakim.

Panel tahun ini memperlihatkan penambahan tiga hakim baharu yang pakar dalam bidang alam sekitar, hidupan liar dan keusahawanan sosial.

Ahli panel baharu iaitu Shah Redza Hussein ialah pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak dan seorang yang berminat dalam pemuliharaan selama lebih 25 tahun.

Selama bertahun-tahun, beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai kerja NGO, terutamanya pemuliharaan, perlindungan alam sekitar, pembangunan komuniti orang asli dan banyak lagi.

Seorang lagi panel baharu ialah naturalis pemuliharaan dan pendidik terkenal, Irshad Mobarak yang muncul dalam beberapa dokumentari alam sekitar dan hidupan liar antarabangsa.

Beliau juga memainkan peranan sebagai perunding, penasihat dan kurator untuk beberapa pusat peranginan dan pemaju hartanah mengenai pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar.

Sementara itu panel baharu ketiga, Muhammad Hafizul Khair Mohd Yusuf ialah pengurus unit perusahaan sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan sosial (SE) Malaysia.

Beliau juga berkhidmat sebagai salah satu sekretariat bagi Jawatankuasa Akreditasi SE, bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) untuk memastikan piawaian tertinggi dalam ekosistem SE dipenuhi.

Hakim lain dalam panel itu termasuk Esther Ng dan Ts Lim Hui Yan, ketua pegawai kemampanan kumpulan Gamuda Berhad Ong Jee Lian, peguam terkenal Syed Azmi Alhabshi dan perunding perlindungan kanak-kanak dan bekas penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain