suria

Terjemah artikel Wikipedia ke Bahasa Melayu, Editathon dapat sambutan hangat

Peserta program Editathon di Hotel Melia, Kuala Lumpur.

MEMPERKASAKAN Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Acara Editathon yang disertai Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Sweden ke Malaysia berjaya disempurnakan pada Ahad bertempat di Hotel Melia, Kuala Lumpur.

Editathon bertujuan untuk mendidik pelajar dalam pembuatan dan penterjemahan artikel Wikipedia yang tepat secara faktual ke Bahasa Melayu.

"Program ini menghimpunkan 65 pelajar siswazah dari pelbagai institusi pengajian tinggi ternama di seluruh Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif Misi Diplomatik 'Fakta untuk Demokrasi'.

"Sebelum pertandingan, pelajar telah menerima latihan komprehensif mengenai penentusahan fakta dan pengesahan sumber oleh jurulatih daripada Wikimedia, satu badan global untuk menyediakan kandungan pendidikan percuma.

Penyertaan meriah program Editathon.

"Dilengkapi dengan kemahiran penting ini, pasukan yang menyertai mula menghasilkan artikel Wikipedia yang informatif dan tepat," kata penganjur Editathon dalam satu kenyataan.

Setelah acara tamat, lima pasukan terbaik diiktiraf serta menerima hadiah dan sijil kerana menghasilkan artikel yang lengkap, asli, dan diterjemahkan dengan baik.

Tiga pasukan teratas dalam setiap kategori juga membawa pulang piala bagi kolej dan universiti masing-masing.

"Acara ini menyaksikan penerbitan hampir 300 artikel dalam Bahasa Melayu; 97 daripada jumlah tersebut merupakan rencana asal yang ditulis dan bukan hasil terjemahan daripada Bahasa Inggeris," terang penganjur.

Timbalan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann pula menyatakan kepuasannya terhadap Editathon, menganggapnya sebagai usaha penting dalam memfasilitasi perkongsian pengetahuan dalam kalangan belia.

"Kita dapat mempromosikan penciptaan kandungan yang boleh dipercayai dalam Bahasa Melayu di Wikipedia.

"Kami berharap program ini dapat mempengaruhi cara belia memahami dan memperlakukan maklumat, menggalakkan mereka untuk lebih bertanggungjawab agar penentusahan fakta menjadi amalan bagi mereka." katanya.

Timbalan Ketua Kedutaan Sweden ke Malaysia, Robert Lejon, menekankan kepentingan penentusahan fakta yang teliti dan pengesahan sumber sebelum berkongsi kandungan di media sosial atau pelantar dalam talian lain.

"Saya memberi amaran kepada para pelajar tentang risiko berkaitan penyebaran berita palsu dan sumber yang tidak boleh dipercayai, sebarang langkah dalam proses penentusahan fakta tidak boleh diabaikan," ujarnya.

Turut teruja dengan Editathon adalah Mohd Taufik Rosman yang mewakili Wikimedia.

"Saya memuji komitmen Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Kedutaan Sweden dalam menyokong inisiatif pendidikan dan mengukuhkan kerjasama dua hala.

"Saya ingin menekankan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang boleh menyokong kandungan dan sumber yang pelbagai," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain