suria

“Lans koperal jangan bagi saya arahan” - Lagi rakaman pegawai polis wanita perlekeh anggota bawahan, kali ini video dalam balai

Pegawai kanan wanita didakwa memperlekehkan seorang anggota bawahan.

BELUM reda kisah seorang pegawai kanan polis yang mengeluarkan perkataan berunsur hinaan kepada anggota bawahan di sebuah kedai makan, tular satu lagi video membabitkan wanita berkenaan.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, kali ini aksi wanita yang dikatakan berpangkat Inspektor itu dipercayai dirakamkan di Balai Polis Seri Petaling di Kuala Lumpur.

Bukan sahaja meninggikan suara di khalayak, malah dia turut memperlekehkan anggota bawahan yang sedang bercakap dengannya..

"Nama encik siapa, pangkat apa? Lans koperal, banyaknya lans koperal saya bertemu hari ini.

"In charge siapa, you in charge ke? Minta SM (sarjan mejar) datang. Saya inspektor... lans koperal kan? Pergi panggil SM,” katanya.

Pegawai polis wanita itu meninggikan suara dengan mengatakan anggota bawahan tidak layak menegurnya.

Menurut pegawai wanita itu lagi, dia tidak mahu menerima arahan daripada anggota bawahan.

"Jangan lans koperal bagi saya arahan... jangan ingat saya takut. Pangkat lagi tinggi bagi arahan...jangan main-main," katanya lagi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila rakaman itu dibuat sebelum ia ditularkan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen kesal dengan tindakan pegawai kanan polis itu yang bersikap biadab.

ARTIKEL BERKAITAN: "Pangkat kau lagi kecil daripada aku!" - Wanita dakwa pegawai kanan PDRM hina lans koperal, netizen kagum abang polis tahan maki

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh lagi! Selepas hina polis bawahan, wanita sama bertekak dengan orang awam pula... 'Tunjuk hero' dekat parkir

"Anti betul dia dengan lans koperal, masih tak insaf.

"Mak aih, takkan macam ni nak simpan lagi?

"Gila betul kuasa lagu ni la.

"Terpaling tegas suara dia, sis takut," demikian antara komen netizen.

Wanita ini meluahkan rasa tidak puas hati di kawasan parkir.

Terdahulu, pegawai polis wanita itu menjadi perhatian selepas tular videonya meninggikan suara dengan mengatakan anggota bawahan yang berjawatan lans koperal tersebut tidak layak menegurnya.

Selain itu, tular rakaman memaparkan wanita berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang pemilik kenderaan sambil membuat rakaman menerusi telefon bimbit, di kawasan pakir dipercayai di sebuah pusat beli-belah.

Pada Ahad, dilaporkan pegawai polis wanita itu ditahan pihak berkuasa, dan penahanan itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein berkata, wanita berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 1.20 tengah hari Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

"Polis juga turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan berkait Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hussein, suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap berikutan ada beberapa lagi laporan yang dibuat terhadap suspek sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain