SEORANG lelaki ditemukan maut di dalam tandas rumahnya, di Sungai Petani. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa ditemukan pada pukul 1.10 petang Isnin. Menurutnya, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dihantar ke lokasi kejadian. "Laporan dibuat oleh jiran selepas isteri kepada mangsa berusia 58 tahun cuba menghubungi lelaki itu dari jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, namun panggilan tidak berjawab. "Isteri mangsa kemudian menghubungi jiran dan meminta untuk memeriksa keadaan suami. "Ketika jiran masuk ke rumahnya mendapati pintu pagar besi bertutup dan tidak berkunci, dengan pintu utama terbuka," katanya dipetik sebagai berkata dalam Sinar Harian. Menurut Zaidy, jirannya menghubungi ambulans sebaik melihat keadaan ruang tamu yang berlumuran darah. Zaidy berkata, mayat ditemui dalam keadaan terduduk sambil mukanya berada di dalam lubang tandas selain menemui kesan kelar pada tangan kiri. Tambah beliau, pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau potong kertas di atas lantai ruang tamu. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!