PENGACARA dan penulis lirik terkenal Ahmad Fedtri Yahya berkongsi foto di Twitter, memaparkan sebuah tabung yang terdapat di Masjid Al Hidayah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Apa yang menjadi bualan ramai, tabung itu dikhususkan untuk individu yang mahu menyedekahkan wang tidak patuh syariah yang dimiliki mereka. "Di masjid ni ada tabung wang tidak patuh syariah," ciapnya di Twitter pada Khamis. Pada tabung itu, pihak masjid menyatakan wang tidak patuh syariah bermaksud sebarang bentuk pendapatan atau perolehan hasil daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan hukum syarak. Pihak masjid turut mencetak keterangan tentang klasifikasi wang yang berada dalam kategori tidak patuh syariah. Antaranya wang riba atau faedah, judi atau pertaruhan, pengeluaran atau penjualan barang tidak halal dan insurans konvensional, wang jual beli sekuriti yang tidak halal, aktiviti yang tidak selaras dengan syariah serta dividen atau bonus daripada pelaburan tidak patuh syariah. Tabung yang disediakan di Masjid Al Hidayah, Sungai Penchala. "Penyaluran wang boleh diserahkan secara tunai ke dalam peti ini atau online akaun masjid," ujar keterangan itu lagi. Dalam pada itu, netizen di Twitter turut meninggalkan komen berbeza-beza tentang kewujudan tabung tersebut. "Nice idea. So duit-duit ini boleh digunakan untuk tujuan yang sepatutnya. "Bagus inisiatif ni. Kutipan ini boleh dimanfaatkan untuk pembangunan infra/kemudahan masjid yang tidak melibatkan makan/minum/jamuan/hadiah. "Sebenarnya bagus ada tabung ni. Tapi orang kita persendakan sebab tak faham," ujar netizen. Semakan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan orang yang menggunakan harta daripada sumber rezeki yang haram seperti penjualan arak, judi, riba atau pelacuran yang dia terlibat dengannya maka hukumnya adalah haram. Menurut laman web itu lagi, menginfakkan harta daripada sumber rezeki yang haram menjadi kewajipan pemilik harta tersebut untuk memisahkan dirinya daripada harta tersebut dan bukannya bertujuan untuk meraih pahala daripada serahan itu. Tetapi dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi. (Rujuk: Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube