DIKEMASKINI PENUNGGANG motosikal yang melawan arus yang didakwa menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, diperintah oleh Mahkamah Majistret Ampang, untuk menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak. Majistret, Amalina Basirah Md Top pada Isnin memerintahkan demikian terhadap Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya. Selain itu, majistret membenarkan permohonan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail untuk menjalani ujian pskitiari mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Semasa prosiding, peguam memaklumkan bahawa tertuduh merupakan seorang pesakit mental yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus jadi saya mohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri dibawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah," kata peguam itu. ARTIKEL BERKAITAN: Rider Ducati maut tercampak dari 'flyover': Penunggang motosikal lawan arus serah diri ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang Ducati maut elak motosikal lawan arus, tercampak dari 'flyover' Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak membantah dengan permohonan peguam tersebut. Mengikut pertuduhan, Mudzyadaha didakwa sebagai penunggang motosikal telah menunggang motosikalnya dengan cara melawan arus jalan yang mana setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan berbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah peruntukan akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM20,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan. Majistret Amalina membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos ini bagi sebutan semula kes. Dalam kejadian pukul 1.05 tengah hari pada 14 Jun lalu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 64, dari arah Ampang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang. Menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati di sebuah laluan berselekoh cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang secara melawan arus. Bagaimanapun, motosikal mangsa terbabas melanggar penghadang sebelah kiri jalan dan sebelum terhumban dari atas jejambat lebuh raya pada ketinggian kira-kira 30 meter, manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube