suria

Pemandu ambulans dan anak maut di lokasi kemalangan, 'driver' lori tak cedera

SEORANG pemandu ambulans dan anak lelakinya maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah lori muatan kayu di Kilometer (KM) 37 Jalan Gua Musang ke Jeli, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, dalam nahas jam 6.15 petang itu, mangsa Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, yang juga pemandu ambulans meninggal dunia selepas cedera di kepala, badan dan putus tangan kanan.

Anaknya, Muhammad Hasbullah, 15, yang berada di tempat duduk penumpang belakang, juga maut di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan yang sedikit berselekoh, kereta Proton Saga dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan kayu.

"Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian.

"Anaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan manakala pemandu lori tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain