suria

Tengah santai sedut air ikat tepi, tiba-tiba kereta polis muncul depan mata! Pemuda ini tak cakap banyak, tenang tolak motor ke tepi

Pemuda ini tenang berhadapan dengan anggota polis kerana kesalahan lalu lintas.

BERADA di tempat salah dan pada masa yang salah.

Begitulah nasib pemuda ini yang dihampiri anggota polis ketika berada di persimpangan lampu isyarat, dipercayai kerana kesalahan lalu lintas tidak memakai topi keledar.

Ketika kejadian, pemuda yang menunggang motosikal itu dilihat sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau sambil menikmati air minuman yang dibungkus sebelum tiba-tiba sebuah kereta peronda polis meluru kepanya dari arah bertentangan.

Namun begitu, apa yang mengagumkan ramai adalah bagaimana pemuda itu kekal tenang ketika dia dihampiri anggota polis berkenaan dan tidak cuba untuk melarikan diri.

Dia malah memberikan kerjasama untuk ke bahu jalan sambil menolak motosikalnya.

Video papan pemuka yang merakam insiden itu dikongsikan akaun rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook dengan kapsyen memuji pendekatan rasional pemuda tersebut.

"Kebiasaannya akan ada segelintir pengguna jalan raya yang cuba meloloskan diri apabila terserempak dengan anggota polis.

"Tetapi sebaliknya, remaja ini dilihat tenang dan pasrah turun daripada motosikalnya selepas didatangi sebuah kereta peronda. Seolah-olah dia sedar dengan kesalahan yang dilakukan.

"Kepasrahan dan ketenangan adik amat kami hargai. Kami hanya ingin pastikan adik utamakan keselamatan ketika berada di jalan raya. Terima kasih kerana memudahkan urusan pihak polis," tulis pengendali akaun tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji keberanian pemuda itu untuk berhadapan dengan kesilapannya.

"Adik yang berjiwa besar. Berani berdepan masalah dan mengakui kesilapan. Semoga berjaya adik.

"Dalam hati tu hanya Allah sahaja yang tahu, tapi dia tetap cool. Tahniah adik, keselamatan tetap perlu diutamakan.

"Semoga ada pengampunan dan dipermudahkan urusan dengan tuan polis," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain