suria

Lelaki peluk, gomol wanita di stesen LRT Maluri! Siap berani turun ke landasan, ketuk-ketuk tren sedang bergerak dengan kasut

Rapid KL memaklumkan sedang menyiasat tentang insiden yang berlaku di LRT Maluri.

TINDAKAN seorang lelaki melakukan gangguan seksual dengan memeluk dan menghempap seorang wanita di kawasan menunggu stesen transit aliran ringan (LRT) Maluri, Cheras di Kuala Lumpur mengundang kemarahan orang ramai.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi Jumaat ketika pengguna pengangkutan awam itu sedang menunggu tren ke Ampang, Selangor.

Berdasarkan rakaman yang tular, kelihatan seorang lelaki berbaju hitam sedang bergelut dengan seorang wanita di lantai.

Wanita itu menjerit meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada terus dipeluk oleh lelaki tidak dikenali berkenaan.

"Apa kes ni? Kasihannya tengok perempuan tu. Mesti trauma teruk," tulis seorang pelayar Twitter menggunakan akaun @localrkyt bersama rakaman berkenaan.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 10.20.26 AM

Tangkap layar daripada video yang dikongsikan di Twitter.

Beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba membantu mangsa dengan menarik pelaku berkenaan.

Akhirnya wanita berkenaan berjaya meloloskan diri.

Lelaki tadi kemudiannya bangun dan mengambil sepasang kasut wanita tadi selain satu objek yang tidak dapat dipastikan di atas lantai sebelum berlalu pergi.

Drama membabitkan lelaki berbaju hitam itu tidak terhenti di situ apabila dia turut dilihat berada di atas landasan sambil mengetuk-ngetuk badan tren.

Walaupun tren kemudiannya bergerak meninggalkan stesen tersebut, lelaki itu tidak berganjak dan meneruskan perbuatannya.

"Lelaki ini dah melakukan beberapa kesalahan menyalahi undang-undang dan jenayah.

"Mana polis? Mana pegawai LRT bertugas?," soal pemilik video berkenaan.

Video itu nyata mengundang kebimbangan ramai.

"Harap mangsa okeylah. Saya tak dapat bayangkan kalau terjadi pada saya... menangis teruk dah.

"Saya tak dapat bayangkan ketakutan dan trauma dialami wanita itu. Harap dia okey saja dan buat laporan mengenai isu ni.

"Respect dekat adik-adik yang tolong tu. Kita sebagai masyarakat kena lakukan sesuatu sekiranya nampak perkara macam ni berlaku," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu pengendali akaun Twitter Ask Rapid KL turut memberi respons tentang insiden berkenaan dan memaklumkan akan menyiasat dengan segera.

"Kami menghargai perkongsian anda melalui video ini. Kami bersimpati di atas kejadian yang dialami gadis tersebut.

"Kami memandang serius kejadian ini dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan. Sebarang kemaskini kami akan kongsikan," ujarnya memberi respons balas pada ciapan asal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain