suria

“Luar nampak cantik, dalamnya tak boleh diduduki” - Bekas orang kanan Muhyiddin perjelas kenapa ubah suai Seri Perdana

Seri Perdana diubah suai semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassi kerana kebocoran.

KOMPLEKS Seri Perdana didakwa berada dalam keadaan usang dan mempunyai banyak kebocoran sehingga perlu diubah suai serta dibaiki oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjelaskan mengenai bangunan berusia 26 tahun itu, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak.

Malah katanya, peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang usang serta perlu diganti baharu.

"Saya terbabit secara langsung dalam mengurus proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana pada ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Setiausaha Sulit.

"Selain itu, keadaan Seri Perdana yang pernah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal berubah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Paling merumitkan apabila terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8.

Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8.

Katanya, beliau menerima permohonan daripada Najib untuk mengeluarkan sebahagian besar perabot dari Seri Perdana yang dikatakan milik peribadi.

"Ini termasuk lampu dan chandelier di Seri Perdana. Perkara ini menjadi pertikaian sejak sekian lama. Tetapi dapat diselesaikan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada ketika itu," katanya.

Disebabkan itu, Seri Perdana yang sepatutnya menjadi kediaman rasmi perdana menteri, didapati tidak sesuai untuk didiami.

"Saya diberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad pun tak pernah tinggal di situ... ia seolah bangunan terbiar. Dari luar nampak cantik, tapi di dalamnya tak boleh diduduki," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal.

Katanya bangunan kalau tidak dibaiki dan diduduki serta dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat.

"Saya ingat lagi Tan Sri Muhyiddin pernah berpesan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM mengenai dua perkara iaitu perlu ada inventori lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana perdana menteri yang boleh mengambil perabot atau hiasan selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi.

"Yang kedua perlu ada satu akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati," katanya.

Katanya, selepas dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana boleh didiami dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.

Katanya, Perdana Menteri Ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana.

"Saya harap dua perkara yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin mengenai Seri Perdana dapat juga dilaksanakan oleh kerajaan.

"Proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana belum siap ketika Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada bulan Ogos 2021," katanya.

Pada 30 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ceramah Arus Merah Kuning di Kota Damansara, Kuala Lumpur mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengutamakan rakyat ketika menjadi Perdana Menteri, sebaliknya sibuk melakukan baik pulih Seri Perdana yang membabitkan kos sebanyak RM38 juta.

Malah beliau mengakui sangat marah dengan tindakan baik pulih Seri Perdana kerana ketika itu ramai yang tengah susah.

Beliau pada masa sama menegaskan tidak akan memaafkan mereka yang mengambil duit rakyat, mengambil tanah dan mencuri balak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain