suria

Tragedi ayam masak lemak cili padi, 32 pelajar keracunan makanan

Ayam masak lemak cili padi disyaki punca 32 pelajar keracunan makanan. -Gambar hiasan

HIDANGAN makan malam berlaukkan ayam masak lemak cili padi bertukar tragedi apabila seramai 32 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka menerima rawatan selepas mengalami simptom keracunan makanan sejak awal pagi Isnin.

Kesemua pelajar itu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah sebelum dibawa ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pelajar-pelajar mendakwa terdapat perubahan fizikal pada ayam yang dimakan, selain rasanya juga sedikit pelik.

“Simptom mula dialami para pelajar berkenaan pada pagi Isnin dan masakan yang disyaki menjadi punca ialah ayam masak lemak cili padi yang dimakan mereka pada malam Ahad.

“Selepas itu mereka mula mengalami gejala keracunan makanan sebelum dibawa mendapatkan rawatan. Tiada yang dirujuk ke hospital, mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya pada sidang media, Selasa.

Hee Sem berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keracunan makanan yang dialami sekumpulan pelajar.

Susulan insiden itu, beliau berkata, dapur asrama tersebut diarahkan tutup selama 14 hari bermula Isnin, mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, katanya, setakat 31 Julai lalu, sebanyak lapan kes keracunan makanan telah dilaporkan di Melaka dengan lima daripadanya membabitkan kejadian di sekolah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain