suria

Sindir-menyindir di TikTok bawa kepada pergaduhan 2 geng motor di restoran! Netizen kata macam “beruk menyusahkan orang”

Tangkap layar video kejadian yang tular di media sosial.

KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Tindakan sindir-menyindir menerusi aplikasi TikTok dikatakan menjadi punca pergaduhan antara dua kumpulan motosikal di sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dua kumpulan itu bertemu di restoran berkenaan kira-kira jam 10 malam sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

Menerusi video tular, mereka dilihat saling memukul antara satu sama lain, malah salah seorang daripada mereka turut dipukul dengan kerusi besi yang ada di restoran berkenaan.

Menurut sumber, pertelingkahan berpunca daripada sindiran di media sosial mengenai rancangan menggabungkan dua kumpulan berkenaan.

"Hasil soal siasat, punca pergaduhan kerana rasa tidak puas hati penyebaran di laman sosial mengenai dua geng itu hendak bergabung.

"Satu kumpulan enggan bergabung dengan satu lagi sehingga berlaku sindir-menyindir di Tik Tok sehingga membawa kepada pergaduhan di lokasi kejadian," ujar sumber.

ARTIKEL BERKAITAN: Hempuk kepala guna helmet, terajang bertubi-tubi! Polis tahan 6 individu kes gaduh di Tampoi

Ekoran kejadian itu, polis ke lokasi dan menahan dua suspek serta merampas barang yang disyaki digunakan ketika pergaduhan.

Lima lagi suspek turut ditahan di sekitar Ampang Jaya.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, seramai tujuh lelaki ditangkap bagi membantu siasatan pada hari yang sama yang mana kesemua mereka berusia belasan tahun hingga 20an.

"Setakat ini, punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara geng motosikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya menerusi sidang akhbar pada Rabu.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut menyelar tindakan 'kurang cerdik' dua geng berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman pelanggan restoran tersebut.

"Itu sebab mengapa pentingnya pendidikan. Hidup berlandaskan motor dan TikTok tanpa ilmu jadilah sebegini rupa, rosak akhlak.

"Rosak kerusi dengan meja kedai orang. Habis calar balar kereta motor. Pelanggan lain nak makan pun tak senang. Beruk-beruk yang menyusahkan orang.

"Rempit dan mentaliti sampah berpisah tiada," tulis beberapa netizen di Twitter.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain