suria

RM55.2 bilion daripada Belanjawan 2023 untuk pendidikan, infrastruktur dan ringankan beban pelajar

Sejumlah RM2.3 bilion daripada Belanjawan 2023 diperuntukkan untuk infrastruktur dan kemudahan pembelajaran murid-murid.

SALAH satu sektor terpenting yang diberi penekanan dalam belanjawan yang dibentangkan pada setiap tahun adalah sektor pendidikan.

Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion, berbanding RM52.6 bilion pada Belanjawan 2022.

Secara tidak langsung, Kementerian Pendidikan bertanggungjawab untuk memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan berkenaan digunakan dengan sebaiknya dalam usaha memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara.

Pelbagai langkah diberikan fokus dalam Belanjawan 2023 untuk menjadikan pendidikan Malaysia lebih berdaya saing sebagaimana tujuh teras yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan.

Berikut adalah pecahan daripada peruntukan kepada KPM sebagaimana yang dicadangkan dalam Belanjawan 2023:

Sekolah

1) Ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat

- RM2.3 bilion adalah untuk memastikan semua sekolah mempunyai infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik untuk murid-murid. Ini termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah usang, khususnya di Sabah dan Sarawak.

2) Kerja penyelenggaraan

- RM900 juta untuk semua jenis sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah vernakular.

3) Ciri mesra murid berstatus orang kurang upaya (OKU)

- Sekolah dengan pelajar berkeperluan khas akan mempunyai kemudahan yang mesra OKU.

4) Dewan terbuka

- Menyediakan tempat yang sesuai untuk kanak-kanak berhimpun di sekolah.

5) Tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos RM560 juta.

6) 50,000 komputer riba:

- Peralatan pengajaran dan pembelajaran untuk guru bagi mengikuti perkembangan teknologi digital.

- Sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM dibekalkan dengan 50,000 komputer riba.

7) Makanan pelajar

- Bagi menampung kos penyediaan makanan kepada pelajar, kadar makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan dinaikkan daripada RM625 juta kepada RM777 juta, yang akan memanfaatkan 700,000 pelajar. Pembekal makanan akan dipantau untuk kualiti dan nutrisi.

Institusi pengajian tinggi

Bagi tahun 2023, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM15.3 bilion berbanding RM14.5 bilion pada 2022. Peruntukan ini antara lain untuk:

1) Pembaikan dan penggantian

- RM436 juta bagi membaiki infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di institusi pengajian tinggi awam.

2) Kemudahan universiti awam

- RM300 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam.

3) Sambungan Internet

- RM35 juta untuk menambah baik sambungan Internet di institusi pengajian tinggi di bawah Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN).

4) Penyelidikan dan pembangunan (R&D)

- RM428 juta untuk aktiviti R&D di bawah KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

- Terdapat peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk KPT dalam mempergiat R&D translasional untuk dimanfaatkan dalam menyelesaikan isu komuniti dan industri.

- MOSTI dibekalkan dengan geran R&D berjumlah RM15 juta khusus untuk pengeluaran vaksin nasional.

Selain daripada peruntukan RM15.3 bilion kepada KPT, Kerajaan turut menjalankan beberapa inisiatif melalui kementerian yang lain, antaranya:

5) Anak Bumiputera

- RM6.6 bilion untuk kemudahan pendidikan anak Bumiputera melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selain itu, ia juga untuk pinjaman pendidikan dan peluang meneruskan bidang profesional.

6) TVET

- RM6.7 bilion diperuntukkan di bawah tujuh kementerian utama untuk memperkasa inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

- RM180 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Prasekolah

1) Program makanan prasekolah

- Peruntukan untuk program makanan prasekolah KPM dinaikkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta untuk manfaat lebih 240,000 murid prasekolah.

2) Pelepasan cukai

- Lanjutan pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk menghantar anak-anak ke pusat asuhan kanak-kanak (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) sehingga tahun taksiran 2024.

Diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

- Diskaun sehingga 20 peratus untuk pinjaman PTPTN mulai 1 Mac 2023, bagi pembayaran dalam tempoh tiga bulan.

- Bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terjejas, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembayaran balik selama enam bulan, bagi peminjam yang berpendapatan bulanan RM1,800 dan ke bawah. Permohonan untuk penangguhan ini dibuka sejak 1 Mac 2023.

- Penyeragaman kadar duti setem untuk perjanjian pinjaman pendidikan. Duti setem RM10 kini meliputi perjanjian pinjaman pendidikan/biasiswa di institusi pendidikan dan latihan mulai 1 Jun 2023.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat

Artikel Lain