suria

“Bukan ikan saja, kita beri kail sekali” – Kerajaan azam noktahkan miskin tegar, kadar kemiskinan turun ke satu digit pada 2024

Ahmad Zahid dalam wawancara Program Naratif Khas pada Isnin. Foto The Star

KEMISKINAN tegar harus dinoktahkan!

Demikian apa yang ditekankan oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu akan dilaksanakan dengan penuh keazaman demi khidmat kepada rakyat.

“Kita harus pimpin rakyat keluar dari jurang kemiskinan tegar ini. Ia tidak mustahil untuk dilakukan kerana kita lihat pelbagai kementerian termasuk KKDW sendiri sudah mengkoordinasi dan menyelaraskan inisiatif penghapusan miskin tegar yang mula menunjukkan keberkesanannya.

“Kita dapat lihat kemiskinan di pedesaan menurun sebenarnya dari 12.9 peratus kepada 12 peratus dan azam kita pada tahun 2023 ini dan tahun hadapan ialah untuk menurunkannya lagi ke tahap satu digit iaitu 10 peratus dan ke bawah.

“Ini azam kita dan ia harus diikuti dengan usaha. Kita akan bantu mereka ini iaitu kumpulan miskin tegar dan golongan B40 untuk menjana pendapatan agar ia bukan diibaratkan seperti memberi ikan sahaja tetapi kita akan memberi kail untuk mereka menangkap ikan sendiri pada hari-hari seterusnya,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Program Naratif Khas yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin malam.

Berikut adalah antara inisiatif yang diketengahkan Ahmad Zahid untuk KKDW dan agensi-agensi di bawahnya.

Prasarana Jalan Luar Bandar (JALB) yang dibangunkan di kawasan luar bandar.

Infrastruktur luar bandar bertaraf dunia

Menurut Ahmad Zahid, KKDW sudah giat bergerak untuk membangunkan infrastruktur luar bandar dan akan meneruskan program-program seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa serta Program Ameniti Sosial.

“Kita lihat saja baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan hampir 35,000 tiang elektrik yang dipacakkan di sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Tanah

Persekutuan (Felda), jumlah yang cukup banyak.

“Dan kita lihat juga masih terdapat lagi lebih 20 peratus yang tidak tercapai pembekalan air luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, untuk bekalan air luar bandar, matlamat kita tahun ini sehingga tahun hadapan adalah 4,800 unit rumah yang dijangka menerima bekalan air bersih, perbelanjaannya bakal menelan RM370 juta.

“Begitu juga dengan bekalan elektrik, sasaran kita adalah 2,100 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM470 juta. Begitu juga dengan Program Ameniti Sosial (PAMS) yang mensasarkan 200 projek dengan peruntukan RM66 juta,” jelas Ahmad Zahid.

Berikut adalah keperincian inisiatif pembangunan luar bandar yang dikelolakan KKDW.

● Program prasarana Jalan Luar Bandar (JALB) yang mensasarkan 150 kilometer (km) dengan peruntukan sebanyak RM1.09 billion.

● Program prasarana Lampu Jalan Kampung (LJK) yang mensasarkan 6,000 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

● Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mensasarkan 15,272 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM460.2 juta, seramai 61,088 penerima akan menikmati manfaat ini yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Bina Baharu dan Baik Pulih.

Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) merupakan antara inisiatif utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Membasmi kemiskinan luar bandar

Berpegang kepada janji untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara, berikut antara program yang dilaksanakan di KKDW untuk mencapai matlamat ini.

● Program Peningkatan Pendapatan (PPP) mensasarkan 1,200 peserta dengan peruntukan sebanyak RM12 juta, 70 peratus peserta akan dapat meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding pendapatan asal.

● Program Latihan dan Kemahiran Kerjaya (PLKK) mensasarkan 1,900 peserta dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, 70 peratus daripada peserta yang tamat latihan di bawah PLKK mendapat pekerjaan atau menjalankan aktiviti ekonomi sendiri.

● Desa Lestari mensasarkan 10 koperasi kampung dengan peruntukan sebanyak RM12.1 juta, 70 peratus daripada jumlah kampung yang dipilih berjaya menjana pendapatan dan mewujudkan 5 peluang pekerjaan selepas setahun pelaksanaan.

● Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) mensasarkan 700 peratus dengan peruntukan sebanyak RM23.8 juta, peningkatan bantuan peserta melalui bantuan ekonomi.

Ahmad Zahid menegaskan pengeluaran makanan negara haruslah ‘self-sufficient’.

Keterjaminan makanan negara

Dianggap sebagai ‘periuk nasi’ negara, KKDW memegang portfolio bagi memastikan bekalan makanan yang stabil dan berterusan khususnya untuk penduduk di luar bandar.

“Saya sudah selaraskan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari segi pengeluaran produk-produk untuk penggunaan tempatan.

“Negara kita mesti self-sufficient dalam pengeluaran makanan, untuk perkara ini saya sudah mulakan beberapa inisiatif agar dapat mencapai objektif tersebut,” tegas Ahmad Zahid.

Berikut adalah antara agenda yang disokong KKDW untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.

● Program ternakan lembu secara integrasi di bawah Felcra dan Risda.

● Projek ternakan ayam oleh Felcra yang akan dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, Sungai Damak, Lipis, Paloh 4, Gua Musang, Bagan Datuk Perak dan Padang Terap, Kedah.

● Program pembangunan ladang sekuriti makanan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW).

● Projek agromakanan seperti sayuran dan buah-buahan oleh sama ada secara individu atau berkelompok di bawah LKW.

Nasib usahawan luar bandar juga tidak terkecuali dalam perancangan KKDW.

Pembangunan usahawan luar bandar

Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan salah satu agensi di bawah KKDW yang terlibat secara langsung dalam pembangunan usahawan termasuk usahawan luar bandar.

“Mara mempunyai matlamat apabila ditubuhkan lebih daripada 40 tahun yang lalu untuk memperimbangkan pembangunan di pinggir bandar. Bukan sahaja dalam soal keusahawanan, tapi juga dalam soal pendidikan dan skim pembiayaan dalam pelbagai bidang,” ujar Ahmad Zahid.

Berikut adalah antara program-program keusahawanan yang dilaksanakan oleh KKDW.

● Program Peningkatan Pendapatan, Kursus Quick Win di bawah Kemas dan Aktiviti Ekonomi Tambahan memberikan latihan, bimbingan dan peralatan secara percuma kepada peserta yang layak.

● DesaMall@KKDW dan Program Pendigitalan Perniagaan di bawah Mara membantu usahawan-usahawan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan ke platform digital.

● Program pembiayaan perniagaan seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan skim pembiayaan perniagaan di bawah Mara termasuk khusus untuk wanita dan Orang Kelainan Upaya.

● Penyediaan premis perniagaan dengan kadar sewa yang sangat berpatutan oleh Mara dan Lembaga Kemajuan Wilayah.

● Program Gate to Global oleh Mara untuk membantu usahawan-usahawan yang layak meneroka dan mengeksport ke pasaran antarabangsa.

Skim Bantuan Galakan Pendidikan Orang Asli dilaksanakan bagi membantu pelajar Orang Asli mendapatkan pendidikan selayaknya.

Pembangunan modal insan yang saksama kepada semua golongan

Pelapis negara yang terdiri daripada golongan belia juga tidak terlepas dari diberikan perhatian oleh KKDW.

“Bakat harus digilap dengan skema untuk mewujudkan keterampilan atau kemahiran, oleh itu, kita mula menggilap bakat ini daripada peringkat prasekolah lagi,” ujar Ahmad Zahid.

Berikut adalah antara inisiatif KKDW untuk terus memperkukuh program pendidikan dan pembangunan modal insan sedia ada.

● Menambah baik kemudahan dan silibus Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta meningkatkan taraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada yang lebih berminda permintaan (demand driven) di 280 institusi TVET di bawah KKDW.

● Menawarkan pendidikan awal kanak-kanak di Kemas secara holistik melalui konsep S.T.R.E.A.M iaitu Science, Technology, Religion, Engineering, Arts dan Mathematics dengan kadar yuran yang berpatutan.

● Melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz secara rintis yang melibatkan 100 buah Tabika Kemas dan 1,500 orang kanak-kanak bermula Ogos 2023.

● Kemas juga akan menilai kesesuaian lokasi Taska dan Tabika selaras dengan keperluan dan taburan penduduk termasuk di kampung-kampung Orang Asli.

● Meneliti cadangan untuk menambah bilangan MRSM yang menawarkan program Ulul Albab yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Program Mini Ulul Albab (Tamhidi Ulul Albab) Maktab Rendah Sains Mara telah diperkenalkan bermula tahun ini.

● Skim Bantuan Galakan Pendidikan Orang Asli dilaksanakan bagi membantu pelajar orang asli di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi awam tempatan menampung perbelanjaan persekolahan dan pengajian mereka. Bantuan berupa bantuan wang saku, bantuan pengangkutan murid, biasiswa pendidikan untuk pelajar orang asli melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Silibus TVET akan dibentuk untuk mengikut keperluan industri semasa.

Program TVET yang berminda permintaan (demand driven)

KKDW mempunyai visi untuk menyelaraskan program TVET dalam setiap kementerian agar dapat diwujudkan pengurusan sistem pendidikan untuk institusi itu yang lebih efisien.

“Terdapat 12 kementerian yang mempunyai TVET masing-masing, selama ini mereka bertindak secara silo atau bersendirian. Apa yang saya buat adalah mewujudkan sekretariat TVET di mana 1,334 TVET yang wujud di negara kita ni sama ada di bawah kementerian kerajaan negeri atau pihak swasta dapat disatukan.

“Perkara ini dibuat kerana kita mahu menangani kira-kira 280,000 pelajar dalam TVET yang pada waktu lalu mereka bersaing sesama sendiri dari segi pengambilan pelajar dan penawaran kursus.

“Kita lakukan kerjasama dan memorandum of agreement dengan pihak industri, kita kenal pasti dalam industri ni berapa ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang diperlukan. Kita akan bentukkan silibus yang mengikut keperluan industri itu.

“Contohnya baru-baru ini kita wujudkan kursus dalam Electronic Vehicle (EV) di Giatmara, Poly-Tech Mara, Kolej Profesional Mara dan cabang TVET yang lain kerana ini adalah masa depan industri,” ujar Ahmad Zahid.

Berikut adalah antara inisiatif KKDW untuk merevolusikan program TVET.

● Single window seperti UPU Online untuk permohonan kemasukan pelajar.

● Mengiktiraf kelayakan pekerja berdasarkan pengalaman dan kemahiran dimiliki.

● Menawarkan 515 program TVET di 280 institusi TVET@KKDW.

● Pemerkasaan TVET di MARA dilaksanakan melalui program artikulasi TVET dalam dan luar negara, pelaksanaan Embeded Dual Certification Programme di samping mengaplikasikan teknologi IR 4.0.

● Memperkenalkan konsep Teaching Factory merupakan sebahagian inisiatif model Industry Based Education and Training (IBET) di Institusi TVET@KKDW. Model IBET memberi peranan kepada institusi TVET sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri bagi memastikan kualiti graduan TVET yang dihasilkan adalah memenuhi keperluan industri berasaskan konsep supply and demand.

● Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) merupakan pelopor kepada konsep ini, di mana pelajar atau pelatih didedahkan secara terus kepada penggunaan dan penguasaan teknologi terkini, di samping merasai pengalaman kerja seperti mana di industri dan seterusnya menghasilkan graduan industry-ready.

● Menawarkan program TVET untuk pelajar-pelajar tercicir dengan usaha 231 GIATMARA yang menawarkan 99 kursus kepada lebih 13,000 pelatih bermula dari peringkat sijil dengan syarat kelayakan minimum iaitu kebolehan 3M (membaca, menulis dan mengira). Melalui program ini, yuran dan elaun pengajian turut ditanggung oleh pihak MARA.

● KKDW akan terus menggiatkan usaha untuk mempromosi program-program TVET di bawah KKDW bagi menarik lebih ramai pelajar untuk mengikuti kursus-kursus TVET. Salah usaha tersebut adalah dengan penganjuran Ekspo TVET@KKDW.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain