"INI fitnah", kata Datuk Ahmad Faizal Azumu berhubung laporan polis yang tular dalam talian, mendakwa dia melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di Plaza Damas di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu. Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu, dia mempunyai bukti ketiadaannya di lokasi tersebut pada waktu kejadian yang didakwa itu. "Saya berada di negeri lain ketika itu. Bagaimana saya boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu kepada wanita itu sedangkan saya tidak berada di sana masa tu? "Saya sedang berbincang dengan peguam saya dan akan mengeluarkan kenyataan penuh tidak lama lagi," kata Ahmad Faizal yang memberitahu akan memfailkan laporan di Balai Polis Hartamas pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Azumu akui terasa hati, tak mahu PN Perak berpecah Terdahulu, menerusi laporan polis, seorang wanita mendakwa dia sedang berjalan ke pejabat di Plaza Damas apabila seorang lelaki yang didakwanya sebagai Ahmad Faizal Azumu mengeluarkan kata-kata menghina terhadapnya. "Saya sangat marah dan malu dan terus berjalan ke Blok M (Plaza Damas). Saya kemudian menceritakan kisah itu kepada suami. "Suami saya mahu berjumpa Ahmad Faizal dan atas nasihatnya, saya didesak ke balai polis untuk membuat laporan polis demi keselamatan saya," kata pengadu dalam laporan yang tular di media sosial. Ketika ditanya The Star, Ahmad Faizal mendakwa laporan itu adalah fitnah dan dia dalam perjalanan untuk membuat laporan balas terhadap wanita itu. Usaha juga sedang dijalankan untuk menghubungi pengadu laporan itu. Dalam perkembangan terbaharu, wanita yang mendakwa dia diganggu secara seksual oleh Ahmad Faizal bertindak menarik balik laporan polisnya. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata pengadu menarik balik laporan terhadap bekas menteri itu pada hari yang sama dia membuat laporan itu. “Bagaimanapun, kami telah membuka kertas siasatan polis berhubung perkara itu. Proses itu sedang berjalan," katanya ketika dihubungi pada Khamis. Difahamkan tujuan kertas siasatan adalah untuk mendapatkan intipati laporan pengadu dan mengapa individu tersebut membuat tuntutan sedemikian. Ia juga akan membolehkan polis menentukan sama ada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.- The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube