suria

BSH RM300 diperluaskan kepada veteran tak berpencen mulai usia 60 tahun

BSH sebanyak RM300 sebulan diperluaskan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun. -Gambar hiasan The Star/George Cheah

KERAJAAN bersetuju memperluaskan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran (Angkatan Tentera Malaysia) Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun berbanding ia hanya dinikmati pada usia 80 tahun sebelum ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata insentif itu berkuat kuasa bulan depan dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 orang membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

"Pemanjangan BSH kepada Veteran Tidak Berpencen pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

"Selain daripada insentif yang berbentuk kewangan, kebajikan veteran juga dititikberatkan oleh kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PA) Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat terbabit turut membincangkan penambahbaikan dan kebajikan anggota penjawat awam terutamanya status kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

Katanya, kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada tahun 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak tahun 2013.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam itu akan melihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan penjawat awam meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

Selain itu, katanya, bagi tahun ini, penjawat awam sudah menikmati Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 sejak Januari lalu serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 dan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 sebanyak RM700 pada awal tahun 2023.

Kerajaan juga sebelum ini sudah mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara kerajaan semasa pembentangan Ekonomi MADANI yang akan dibayar pada 10 Ogos ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain